DETIK penyanyi dan pelakon Bella Astillah menyampaikan trofi kepada Sophia Albarakbah pada Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) menimbulkan pelbagai reaksi apabila suasana jelas dilihat dingin dan kekok.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, tampil selaku penyampai kategori Selebriti Feminin Terhangat, tampak kurang selesa ketika menyebut nama pemenang yang ditunjukkan melalui bahasa tubuhnya.
Huh, yang ini saya kenal sangat, Sophia,” katanya ketika mengumumkan kemenangan aktres itu.
Apa yang mengundang lebih banyak persoalan, Bella tidak bersalaman mahupun memandang ke arah Sophia ketika menyampaikan trofi, sebaliknya terus berpaling dan menjauh.
Situasi tersebut pantas mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menganggap pertemuan dua figura itu tidak berlaku secara profesional.
“Bukan main jelas riak muka Bella, macam kena paksa umumkan nama musuh,” komen seorang pengguna media sosial.
Aura atas pentas pun dah cukup sejuk. Memang nampak sangat dua-dua tak selesa,” tulis netizen lain.
“Tak perlu drama pun kita dah boleh rasa tegangnya. Ini bukan ‘award moment’ biasa-biasa,” ciap seorang lagi pengguna X.
Untuk rekod, nama Sophia pernah menjadi bualan hangat apabila didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangga Bella bersama penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz sekitar Januari 2023.
Ketika itu, Bella turut berkongsi tangkap layar perbualan dipercayai daripada Sophia yang memohon maaf dan mengakui ingin memperbetulkan keadaan susulan tercetusnya kontroversi tersebut.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 namun bercerai kali kedua dengan talak satu pada 13 Jun tahun lalu. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna. – HIBGLAM