SELEPAS hampir dua tahun meninggalkan dunia penyiaran radio, pelawak Fad Bocey akhirnya kembali ke konti apabila diumumkan sebagai penyampai baharu Suria FM.
Kemunculan semula Fad atau nama asalnya Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam, 34, adalah bagi menggantikan dua penyampai terdahulu, Datuk Fizz Fairuz dan Suraya Borhan, sekali gus menyaksikannya bergandingan dengan Ajak dalam segmen Morning-Morning Suria (MMS).
“Pertama sekali saya bersyukur setelah lama berehat hampir dua tahun dan kini kembali mengisi kerusi Suria FM setiap pagi Isnin hingga Jumaat.
Tiada niat lain hanya ingin mencari rezeki dan lagi satu bila saya tahu digandingkan dengan sahabat saya Ajak yang pernah sepentas dulu, perasaan teruja sangat luar biasa sebab saya selesa dengan dia,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Menerusi sebuah kenyataan rasmi, pelakon filem Impak Maksima 2 itu mula ke udara secara rasmi bermula hari ini.
Dalam kenyataan sama, Suria FM percaya gandingan Fad dan Ajak akan membawa kombinasi energi dan elemen hiburan yang dapat menyuntik nafas baharu dalam segment berkenaan.
Suria FM turut memaklumkan pertukaran semula Kai Hassan ke segmen Suria Petang bersama Chiwan yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 3 petang hingga 7 malam.
Sebelum ini, Fad berkhidmat sebagai penyampai radio di Hot FM mengendalikan segmen Hot Squad Bersama Fizi Ali dan mengundur diri selepas bertugas hampir dua tahun.
Dia juga pernah menjadi penyampai radio jemputan di Suria FM pada 2023.
Pada Julai lalu, Fizz mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio di Suria FM selepas setahun enam bulan bersiaran.
Keputusan Fizz tidak meneruskan kontrak disebabkan mahu memberi fokus kepada anak-anaknya selain kasihan melihat isterinya iaitu pelakon Almy Nadia terpaksa menguruskan anak-anak bersendirian setiap pagi.
Selepas pengunduran Fizz, pelakon Raja Azura atau Kak Engku memasuki konti Suria FM sebagai penyampai jemputan.
Tidak lama kemudian, Suraya pula mengumumkan menamatkan tugas di stesen radio terbabit selepas sembilan tahun berkhidmat. – HIBGLAM