‘Terima kasih, sayang’ – Edika, Hidayah sudah rujuk?

 “Dengan sepenuh cinta. Suamimu, Edika Yusof.”

Demikian hantaran dikongsikan pelakon Edika Yusof kepada bekas isterinya, Nor Hidayah Yusri yang menunjukkan seolah-olah sudah berbaik dan rujuk selepas bercerai pada 5 Mei lalu.

Ucapan penghargaan terhadap wanita tersebut diluahkan menerusi media sosialnya bersama foto istimewa atas pemilihan Nor Hidayah sebagai duta sebuah produk.

Menguatkan lagi telahan mereka bergelar suami isteri kembali apabila Edika atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abd. Majid, 58, turut menyertakan kata-kata manis buat individu yang hidup bersamanya selama 22 tahun.

“Untuk degup jantungku. Anda kekuatanku, anda wanita hebat serta cinta sejatiku.

“Tiada apa pun yang kamu tidak mampu lakukan. Kamu mengubah semua cabaran menjadi keajaiban.

“Selalu respek. Saya sentiasa mengagumi kamu,” katanya dalam Instagram.

Paling mencuri tumpuan apabila Nor Hidayah turut memberi maklum balas dengan memanggil pelakon filem Maria Mariana itu sebagai ‘sayang’.

“Kekuatan yang dibangunkan dengan usahasama, sukses yang didorong rasa cinta.

“Kukuh bersama, takkan dapat dihentikan buat selama-lamanya. Terima kasih sayang,” tulisnya dalam ruangan komen.

Susulan itu, ramai pengikut laman sosial Edika menyatakan rasa gembira dengan perkembangan terbaru itu, sekali gus berharap keluarga terbabit terus bersatu.

“Semoga Allah terus limpahkan rezeki berterusan buat pasangan yang mengukuhkan masjid,” kata seorang peminat.

“Alhamdulillah. Belajarlah dari kesilapan lalu, perbaiki jika ada kekurangan. Semoga bahagia hingga ke jannah,” tulis netizen lain.

Begitupun, usaha mendapatkan pengesahan berkenaan spekulasi sudah rujuk itu belum berhasil apabila Edika tidak menjawab panggilan telefon.

Terdahulu, ikatan perkahwinan antara Edika dan Nor Hidayah terlerai apabila mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 5 Mei lalu.

Difahamkan, Nor Hidayah memfailkan perceraian pada pertengahan Februari 2025 di mahkamah sama atas alasan tiada lagi persefahaman.

Sebelum ini pasangan terbabit menjadi perhatian ramai apabila Edika berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup sejak 2003, kehidupan mereka diserikan tiga cahaya mata termasuk seorang anak daripada perkahwinan terdahulu wanita terbabit. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok