KATA orang, ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Perumpamaan lama tersebut seolah-olah terpasak teguh dalam perjalanan seni insan bernama Haqiem Rusli.
Jejaknya dalam dunia hiburan bermula sedari anak remaja, malah tahun 2008 menyaksikan tubuh genitnya menjadi sandaran bakat dalam program Idola Kecil, sebelum bergelar naib juara.
Dari situ, benih seni disemai menjadi pohon kejayaan yang rendang.
Namanya mencanak naik, menawan takhta Anugerah Bintang Paling Popular ke-33 (ABP33) pada 2020, malah turut menggenggam beberapa trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) yang mendewasakan dirinya sebagai penyanyi versatil dan idola generasi baharu.
Bagaimanapun, setelah berkahwin dengan wanita pilihan hatinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri pada November 2021, detik populariti mula seperti longgar.
Namun, takdir seni tidak pernah berpaling daripadanya, lagu Sangkar Derita muncul sebagai nyawa semula yang meniupkan kembali bara dalam karier muziknya.

HAQIEM teruja dapat berduet dengan idola pujaannya sejak kecil, Zamani.
Enggan mensia-siakan momentum tersebut, pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli itu terus bangkit, malah dengan impian lama yang bakal jadi nyata iaitu berduet dengan idolanya, Zamani Slam.
Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya akan keluarkan satu lagi lagu berentak 1990-an. Sekarang ini, orang memang tengah suka dengar saya nyanyi lagu-lagu 1990-an, jadi saya cuba bawa kesinambungan nostalgia itu.
“Lebih istimewa, lagu tersebut merupakan duet bersama Zamani Slam. Lagu sudah siap, muzik skor pun dah susun. Kami dah berbincang, dah jumpa, tinggal nak masuk vokal dan rakam muzik video,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut, lelaki berusia 27 tahun itu mengakui hatinya berbunga-bunga selain tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dapat bekerjasama dengan idolanya sejak kecil yang disifatkan seperti mimpi jadi realiti.
“Perasaan saya memang sangat gembira. Dahulu tengok beliau di televisyen saja, kini saya boleh masuk rumah dia, duduk satu bilik, menyanyi bersama. Itu idola saya sejak kecil. Jadi, Rasa macam mimpi.
Dahulu saya segan, nak ‘approach’ pun malu. Tapi bila ada projek nak buat lagu bersama, baru ada alasan nak datang ke rumah dia. Abang Zamani pun sangat ‘sporting’. Dia terbuka, ikut saja aliran muzik yang saya bawa.
“Sekarang ini memang tunggu masa sahaja. Dia baru habis konsert, kita tunggu Zamani benar-benar lapang, baru kami akan masuk rakaman vokal,” ujarnya.
Ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu Sangkar Derita itu perancangan duet sebenarnya bermula sejak beberapa tahun lalu cuma belum ada masa yang sesuai untuk direalisasikan.
“Saya dah lama ‘approach’ abang Zamani, sejak 2018 lagi, tapi masa itu belum ada rezeki. Tahun ini baru betul-betul menjadi kenyataan.
Bukan sebab Abang Zamani tak mahu, bukan dia tolak. Cuma waktu tak kena. Saya pun tak ‘approach’ secara betul-betul. Kadang-kadang cuma terserempak di show, dan cakap sambil lewa, ‘Bang, jom duet!’. Bukan secara ‘proper’.
“Tapi untuk tahun 2025, kita buat betul-betul. Jumpa dia, datang ke rumah, dan ‘approach’ secara profesional, syukur sangat abang Zamani sudi berduet dengan saya,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, sebagai penyanyi yang pernah menjejakkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu, Haqiem mengakui untuk kembali ke pentas tersebut.
Justeru, dia menyiapkan sebuah lagi lagu yang disifatkan luar kotak bertepatan dengan tuntutan penjurian AJL yang mungkin menjadi kunci untuk kembali bersaing dalam liga berprestij tersebut.
Saya sedar saya dah tiga ke empat tahun tak berada di pentas AJL. Lagu Sangkar Derita pun walaupun dapat 30 juta tontonan, tetap tak lepas masuk bertanding
“Tapi saya tak pernah marah. Saya faham, AJL ada standard tersendiri. Jadi, saya dah siapkan satu lagi lagu yang lebih berat. Kalau bukan tahun ini, saya yakin tahun depan akan ada rezekinya,” noktahnya. – HIBGLAM