‘Lepas kereta dilanggar lari, sekarang Alphard masuk garaj’

REZEKI terus melimpah buat penyanyi Ara Johari apabila berjaya memiliki sebuah kenderaan serba guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard Executive Lounge berwarna hitam.

Pencapaian tersebut dikongsikan pengurusnya, Ash Rule yang meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, kerana memiliki kenderaan impian hasil titik peluh sendiri.

“Syabas dan tahniah atas kereta baharu Ara! Saya sangat bangga dengan awak.

“Kita semua tahu betapa kerasnya awak berusaha selama ini. Semoga makin banyak masa kita habiskan bersama atas jalan nanti,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.

Biarpun nombor pendaftaran tidak jelas kelihatan, kelibat pelantun lagu Menjaga Jodoh Orang yang berdiri di belakang kenderaan mewah tersebut cukup memberi gambaran kejayaan diraih selepas hampir satu dekad bergelumang dalam dunia seni.

Difahamkan, harga pasaran model kenderaan tersebut boleh mencecah lebih RM500,000 bergantung kepada spesifikasi dan tahun pengeluaran.

Rata-rata netizen turut tumpang gembira dengan kejayaan Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu yang disifatkan sebagai bukti hasil titik peluh sendiri.

“Rezeki makin melimpah, semoga terus berjaya dalam hidup dan karier. Berbaloi kerja siang malam, hasilnya Alphard masuk garaj,” komen netizen.

“Bila kerja keras, rezeki tak ke mana. Semoga jadi inspirasi untuk gadis lain,” kata seorang pengguna media sosial

“Kuat kerja dia ni, tak pelik pun boleh mampu beli. Dahulu kena langgar, sekarang Allah ganti kereta besar. Tahniah,” tulis peminat.

Terdahulu, peserta Akademi Fantasia 2016 itu pernah berkongsi rasa kecewa apabila kenderaan miliknya dilanggar oleh seorang individu yang enggan bertanggungjawab atas kecuaian sendiri.

Biarpun kerosakan tidak serius, Ara menyifatkan kejadian itu sebagai bukti bahawa masih ramai pihak bersikap pentingkan diri apabila berada di jalan raya. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok