15
TUJUH tahun bercinta, pelakon Mustaqim Bahadon belum bersedia menamatkan zaman bujang demi mengukuhkan kewangan dan mempersiapkan diri sebagai ketua keluarga.
Bukan takut memikul tanggungjawab, sebaliknya aktor berusia 40 tahun itu mengakui trauma melihat individu terdekat berdepan kehancuran perkahwinan disebabkan belum bersedia sepenuhnya.
“Saya sudah bercinta dengan kekasih sejak tujuh tahun lalu. Melihat orang sekeliling bercerai buat saya jadi lebih berhati-hati kerana saya belum bersedia dari sudut kewangan dan mental.
“Trauma itu ada. Apabila dah rapat dengan keluarga pasangan, sepupu pun sudah mesra, tiba-tiba bercerai. Hubungan renggang walaupun dulu baik. Tak nak benda sama jadi pada saya.
“Saya nak pastikan perkahwinan kami bertahan hingga ke akhir hayat. Saya nak elak situasi kahwin hari ini, cerai esok lusa sebab itu saya ambil masa tunggu waktu tepat,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem Munajjim: Sekutu Iblis, baru-baru ini.
Pada masa sama, Mustaqim juga bersyukur tidak berdepan tekanan, baik daripada teman wanita yang juga pramugari, mahupun keluarga kedua-dua belah pihak.
“Kekasih saya seorang wanita yang sangat memahami, sabar dan sanggup bertahan berada di sisi saya sejak dulu lagi.
“Umurnya awal 30-an dan bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan pramugari. Tapi dulu saya pernah cakap kalau nak cari orang lain, silakan. Dia kata tetap nak bersama saya.
“Saya pun hairan, mungkin dia suka orang pelik macam saya. Memang saya dalam fasa kumpul duit, bukan untuk kahwin saja. Jika tak jadi kahwin pun, kewangan saya stabil,” ujarnya.
Mustaqim turut mendedahkan mereka sebenarnya pernah merancang berkahwin ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tertangguh disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan.
Mengenai filem barunya Munajjim: Sekutu Iblis yang ditayangkan pada 31 Julai lalu, Mustaqim teruja dapat bergandingan dengan aktor dan pengarah berpengalaman, Farid Kamil.
“Apabila berlakon dengan aktor senior seperti Farid, kita juga kena bersedia dengan rapi kerana saya tahu beliau sentiasa memberikan yang terbaik.
“Selain dengan Farid, pelakon lain iaitu Uqasha dan Sherie Merlis juga sangat membantu menjadikan gandingan ini sebagai sesuatu pengalaman menyeronokkan.
“Saya bawa watak Shazlan dalam kisah mengenai keluarga yang percaya terhadap perkara khurafat sehingga akhirnya memusnahkan diri mereka sendiri,” katanya. – HIBGLAM.