KALAU ada perihal yang membuatkan mulut penulis tidak berhenti menzahirkan pujian terhadap sebuah lagi naskhah seram berjudul Bring Her Back, pastinya semua merujuk kepada persembahan luar biasa pelakon Sally Hawkins.
Bring Her Back bercerita tentang dua adik-beradik tiri iaitu Andy dan Piper yang kematian orang tua. Mereka dihantar ke rumah ibu angkat bernama Laura, seorang wanita misteri yang tinggal bersama anak lelaki bisu bernama Oliver.
Sedikit spoiler, Laura sebenarnya pernah kematian anak tersayang bernama Cathy. Barangkali atas alasan itulah, naskhah arahan Danny dan Michael Philippou ini diberi judul Bring Her Back.

BRING Her Back diolah dengan penuh cermat dari segi jalan cerita dan lakon layar selain lakonan hebat aktres, Sally Hawkins serta Jonah Wren Phillips (gambar).
Secara peribadi, tiada masalah dengan alur cerita Bring Her Back. Masih berada dalam radar seronok untuk ditonton, ada babak sukar ditebak dan ada adegan yang seperti sudah terang lagi bersuluh.
Seperti apa dicernakan pada perenggan awal, Sally Hawkins meluncurkan karakter Laura, seorang ibu yang sukar menerima hakikat hidup dengan cukup cemerlang.
Permainan emosi, bahasa tubuh dan lontaran dialog Hawkins memang jarang mengecewakan. Dalam Bring Her Back, penulis berasakan hampir kesemuanya tertumpu akan kehebatan terjemahan lakonan Hawkins.
Terlalu cemerlang hingga menenggelamkan dua teraju utama, Billy Barrat dan Sora Wong sementelah Jonah Wren Phillips sebagai ‘budak bisu’ bernama Oliver memang membenam keberkesanan.
Tuntasnya, Bring Her Back sebuah filem seram yang alur ceritanya mendesak audiens berfikir secara kritis. Penulis ingin memberikan tiga bintang, namun disebabkan Hawkins, filem berkenaan layak mendapat markah lebih, dia berkelas luar biasa. – HIBGLAM