‘Hamil enam bulan, nak rahsia tapi perut dah besar’

SELEPAS mengalami keguguran pada Disember lalu, penyanyi Puteri Khareeza mendedahkan kini berbadan dua.

Pada masa sama, pemilik nama lengkap Puteri Aszfaryna Khareeza Arif, 26, itu lega apabila tidak berdepan alahan sepanjang hamil.

“Saya kini hamil dan usia kandungan sudah enam bulan. Dapat tahu saya hamil pada Mac lalu.

Saya tak berdepan dengan ‘morning sickness’ langsung sejak trimester pertama. Tak ada muntah-muntah.

“Dapat tahu saya (mengandung) pun sebab lambat datang bulan dan bila buat ujian kehamilan, Alhamdulillah ‘melekat’,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) baru-baru ini.

Selain itu, Puteri Khareeza mengambil keputusan untuk merahsiakan kandungannya kerana khuatir selepas keguguran hujung tahun lalu.

Memang saya suka rahsia, kahwin pun berahsia jadi bila tahu mengandung saya dan suami ambil keputusan nak rahsiakan dulu.

“Saya pernah gugur pada bulan 12 yang lalu ketika kandungan berusia tujuh minggu. Jadi, tak nak perkara ini dihebohkan awal sebab takut tak jadi dan sebagainya.

Tapi tak boleh nak rahsia sekarang sebab ‘membesar’ dengan jayanya. Bukan saya saja, perut saya pun membesar, berjalan pun dah mula mengah.

“Ramai juga yang kata dah nampak ‘baby bump’ jadi saya bagitahu sajalah sekarang,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, pelantun lagu Kerana Cinta Itu Ada itu bersyukur apabila kandungannya berada dalam keadaan baik selain mahu merahsiakan jantina bayi.

“Alhamdulillah kehamilan kali ini tak ada komplikasi.

Saya dan suami selalu buat pemeriksaan. Kalau sakit ke apa memang saya terus berjumpa doktor dan alhamdulillah setiap kali buat pemeriksaan, kandungan sihat.

“Jantina pula rahsia walaupun saya dah tahu. Nanti dah hujung-hujung baru beritahu,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Khareeza mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, Mohd. Shukor Khamaruddin 24 Februari 2024 selepas empat bulan mengenal hati budi menerusi media sosial.

Dalam perkembangan lain, Puteri berjaya menempatkan diri dalam senarai top 10 bagi kategori ‘Selebriti Newcomer Terhangat’ AMT2025 yang akan berlangsung esok(Ahad). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok