SAAT melangkah masuk ke Studio Media Mulia untuk penggambaran penghias muka depan sisipan HibGlam ini, semua mata tertumpu kepadanya.
Kepenatan turun dari Genting Highlands atas urusan kerja tidak menghalang Sandra Lim ceria dan bersemangat. Auranya begitu luar biasa.
Tinggi lampai, berkulit putih mulus dengan senyuman menawan menguntum di bibir, tidak hairanlah jika Sandra atau nama lengkapnya Sandra Lim Shue Hui, 25, berjaya memikat barisan juri di pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico, November tahun lalu.
Tersenarai dalam kelompok 30 teratas meletakkan nama Sandra dalam sejarah pertandingan ratu cantik. Mana tidaknya, lebih lima dekad Malaysia tidak tersenarai dalam kelompok semi-finalis Miss Universe.

MESKI milki kecantikan hampir sempurna, Sandra Lim mendedahkan dia pernah disarankan melakukan pembedahan plastik kerana dikatakan kurang seksi – Solekan AZMIER HISYAM
Sebelum itu pada tahun 2022 Sandra sudah terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia di pertandingan Miss Global apabila berjaya meraih tempat kedua.
Tidak lama lagi, mahkotanya bakal beralih tangan apabila pemenang Miss Universe Malaysia 2025 dipilih.
Namun kata Sandra, hatinya berat untuk melepaskan gelaran dambaannya itu.
Saya susah nak lepaskan mahkota ini. Kalau boleh saya nak pergi lagi bertanding di Miss Universe, tetapi saya perlu akur setiap tahun akan ada pemenang baharu.
“Terlalu banyak kenangan dan pengalaman selama membawa gelaran Miss Universe Malaysia.
“Paling membanggakan tentunya tatkala nama Malaysia berkumandang di bumi Mexico saat tersenarai Top 30.
“Setiap kali bercakap tentang momen tersebut, bulu roma saya berdiri. Masih rasa semuanya bagaikan mimpi. Saya memecah tembok penghalang yang sudah terbina selama 53 tahun untuk Malaysia,” katanya.
Pembedahan
Meskipun memiliki rupa paras dan tubuh yang hampir sempurna, anak jati Selangor itu mengakui ada diminta melakukan pembedahan plastik sebelum bertanding di pentas Miss Universe.
Mereka kata tubuh saya tidak cukup ‘curvy’ dan seksi. Saya diminta buat pembedahan di bahagian tertentu pada tubuh dan wajah. Saya pernah terfikir untuk dengar pendapat mereka.
“Kemudian, saya fikir balik. Saya atlet yang mewakili wanita seperti saya. Apa saya perlu jawab kepada semua wanita yang terlibat dengan sukan jika melakukan sesuatu terhadap tubuh dan wajah?
Adakah mereka tidak cukup cantik? Adakah wanita zaman kini perlu melakukan sesuatu pada wajah dan tubuh.
“Saya tidak mahu jadi contoh tidak baik kepada wanita generasi muda. Masyarakat perlu tahu kecantikan bukan hanya luaran, tetapi daripada keperibadian dan pembawakan diri,” ujarnya.

SEBAGAI atlet yang memiliki kemahiran seni bela diri, Sandra kini menjadi buruan pembikin filem aksi. – Busana Seth & Luna ( Gaun Merah)
Pernah melalui pengalaman hampir lumpuh akibat kecederaan tulang belakang juga membuatkan Sandra lebih menghargai tubuh dan belajar mensyukuri nikmat Tuhan untuk jalani hidup dengan sihat.
“Dua bulan sebelum pertandingan ratu cantik, bangun tidur tiba-tiba saya tidak boleh berjalan selama dua hari. Mungkin tersilap tidur dan kesan daripada kecederaan lama.
Doktor cakap, saya tidak boleh pakai kasut tumit tinggi dan bergerak aktif. Ketika itu saya fikir impian untuk berjaya dalam pertandingan ratu cantik bakal musnah.
“Tetapi jika rezeki itu sudah ditakdirkan milik anda, pasti akan datang sendiri. Akhirnya saya menang Miss Universe Malaysia dan berjaya memecahkan rekod,” kongsinya.
Ratu cantik ratu filem
Sinar Sandra bukan sahaja bergemerlapan di lapangan pertandingan ratu cantik, tetapi turut cemerlang dalam lapangan seni.
Dia kini jadi buruan penerbit dan pengarah filem yang mahu meminjam sinarnya membintangi karya mereka. Tiga filem lakonannya menanti untuk ditayangkan hujung tahun ini dan tahun hadapan.
Tahun lepas, pulang sahaja dari Mexico, dia terus ke Perak untuk menjalani penggambaran filem Gayong.

SELEPAS Money Game dan Gayong, dia satu-satunya petarung wanita dalam The Furious, sebuah naskhah aksi bergandingan dengan Zul Ariffin. – Penata Gaya HELMI ANUAR
“Tawaran itu hadir sebelum saya ke Miss Universe. Jadi, dalam keadaan ‘jet lag’ saya terus masuk set penggambaran.
Tahun ini filem saya Money Games ditayangkan sempena Tahun Baru Cina. Syukur dapat sambutan hebat dan saya berpeluang bergandingan dengan pelakon terkenal Hong Kong, Eric Tsang,” kongsinya teruja.
Terkini Sandra sibuk menjalani penggambaran filem terbaharu terbitan Adrian Teh berjudul The Furious bergandingan dengan barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Ikmal Amry, Zamarul Hisham dan Sky Iskandar.
Memegang watak sebagai ‘fighter’, Sandra banyak menghabiskan masa di gimnasium bagi mendapatkan tubuh ideal untuk watak yang digalasnya.
Saya satu-satunya ‘fighter’ wanita dalam filem itu, Setiap pelakon sangat berdedikasi terutama Zul Ariffin. Dia sangat ‘protective’ seperti seorang abang.
“Zamarul Hisham pula layan saya seperti anaknya sendiri. Selalu beri nasihat dan tunjuk ajar. Dia sangat comel, sama seperti bapa saya. Umur mereka pun sebaya,” kongsinya.
Masuk gelanggang seni dengan naskhah aksi, malah sama-sama miliki latar belakang ratu cantik, ramai yang melabelkan Sandra sebagai ‘the next Michelle Yeoh’.

Berterima kasih, namun jolokan ‘the next Michelle Yeoh’ terlalu besar buat Sandra. Dia berharap dapat melakukan hal sama seperti penjulang Oscars itu. – Busana Precious Wedding ( Gaun Silver)
Ditanya adakah selesa dilabelkan sebegitu, Sandra hanya menganggap perkara itu sebagai pujian untuk dirinya.
Terima kasih dan terharu apabila ada yang anggap saya boleh berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh, tetapi perjalanan saya masih sangat jauh. Saya tidak akan sesekali berani bandingkan diri dengan Michelle. Beliau legenda dan ikon.
“Michelle memberi harapan dan inspirasi kepada ramai orang terutamanya pelakon dari Asia bahawa anda juga boleh berjaya di peringkat global.
Satu yang saya suka, beliau bukan sahaja cemerlang dalam seni, saya kagum dengan kerja kebajikan serta sensitiviti terhadap dunia sejagat
“Beliau benar-benar menggunakan ‘platform’ sebagai selebriti untuk melakukan kebaikan. Saya berharap dapat lakukan perkara yang sama,” ujarnya. – HIBGLAM