PELAKON sensasi Luna Maya menegaskan belum merancang untuk hamil sekali gus menafikan dakwaan segenlintir pihak dia kini berbadan dua.
Meski diasak dengan pertanyaan ramai, Luna menegaskan enggan terburu-buru menimang cahaya mata walaupun usia sudah memasuki 41 tahun selain sibuk dengan jadual penggambaran dua filem.
“Setakat ini masih datang bulan lagi, belum hamil.
“Selepas pulang dari bulan madu nanti, saya akan sibuk dengan persiapan untuk penggambaran filem sehingga akhir tahun,” katanya.
Dia juga enggan mengambil risiko untuk hamil sepanjang terikat dengan jadual kerja yang padat dan berat.
“Antara sebab lain masih menunda untuk memiliki anak ialah enggan hamil sepanjang penggambaran.
“Risau terjadi sebarang masalah ditambah pula dengan pelbagai babak lasak, risau membahayakan saya dan bayi dalam kandungan.
“Ramai juga yang cakap ‘usia tidak muda lagi, takut jadi perkara tak baik’. Kalau boleh saya mahu betul-betul bersedia dari segi mental,” katanya.
Menurut pelakon filem Sumala itu lagi, perkara tersebut sudah dibincangkan dengan suami, Maxime Bouttier.
“Saya beritahu Max bahawa kami akan bekerja dulu. Selepas selesai semua termasuk tiada kontrak filem yang panjang, kami akan cari waktu dan fokus untuk hamil,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setiap individu mempunyai rezeki dan fasa sendiri termasuk dalam soal zuriat.
“Saya ada waktu atau tempoh yang ditetapkan sendiri.
“Ini badan saya, jadi bila sudah bersedia, kamu semua akan tahu (hamil),” ujarnya lagi.
Terdahulu, Luna dan Maxime yang berbeza usia 10 tahun selamat diijabkabul dalam sebuah majlis indah yang berlangsung di Bali. – HIBGLAM