‘Saya lari keliling rumah terima mesej Melly’

“SAYA terkejut dan hendak menangis.”

Demikian kata penyanyi Misha Omar apabila menerima kejutan daripada penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslow yang hadir pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Break semalam.

Kejutan tersebut adalah pertemuan kali pertama secara empat mata antara Misha atau nama sebenarnya, Samihah @Aisah Omar, 43, dengan Melly.

“Ketika sedang menyanyi dari jauh saya nampak susuk tubuh seperti Melly, dalam hati saya mahu menangis tetapi terpaksa kawal demi beri persembahan terbaik.

Alhamdulillah, Melly pun menyanyi bersama, saya sangat gembira. Sebagaimana beliau mengagumi saya, begitu juga saya kagum terhadapnya.

“Sebenarnya saya sangat terharu suara didengari oleh orang yang bukan calang-calang dari negara jiran. Ini satu penghargaan yang tinggi buat saya,” ujar Misha.

Tambah Misha yang sudah lama mengimpikan untuk menyanyi lagu ciptaan Melly bersyukur akhirnya impiannya tercapai menerusi lagu Break.

Perbualan yang hanya bermula di ruangan DM (mesej) Instagram menjadi titik kepada kerjasamanya dengan Melly.

“Rasa seperti mimpi apabila Melly yang mula DM saya dalam Instagram untuk mengucapkan terima kasih kerana saya hadir ke konsert beliau sebelum ini.

Bayangkan saya berlari keliling rumah kerana terlalu gembira dengan mesej Melly (ketawa). Teruslah saya minta lagu daripadanya dan dia berikan saya dua lagu,” kongsi Misha.

Sementara itu, Melly juga mengaku dia gagal mengawal perasaannya apabila pertama kali melihat Misha depan mata.

Ketika melihat Misha dari jauh saya sudah menangis, tidak sangka dapat bertemu dengan idola saya dan dia menyanyikan lagu ciptaan saya dengan begitu baik sekali.

“Saya mula meminati Misha selepas mendengar lagu Pulangkan nyanyiannya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Saya peminat filem seram dan setiap kali lagu nyanyiannya muncul dalam filem itu sangat menyentuh hati.

Ramai penyanyi mempunyai teknik nyanyian yang baik, tetapi tidak ramai penyanyi yang menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem boleh sampai hati. Misha adalah penyanyi yang mampu memberi rasa kepada pendengarnya,” tutur Melly.

Single Break yang diciptakan oleh Melly dan diterbitkan oleh Tohpati telah mula berada di semua platform digital bermula 20 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok