‘Saya jadi diri sendiri’ – Daiyan Trisya ulas isu seksi

“Urusan sudah pergi umrah atau belum, saya fikir itu hubungan peribadi saya dan Allah.”

Demikian respons pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha mengenai penampilannya yang dikatakan terlalu seksi dan tidak selari dengan imej seorang yang telah beberapa kali menunaikan ibadah umrah.

Pada masa sama, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 31, menegaskan hanya mahu menjadi diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk berubah apabila tiba masa sesuai.

“Komen sebegitu adalah sesuatu yang saya kena hadap. Urusan sudah pergi umrah atau belum, saya fikir itu hubungan peribadi saya dan Allah. Bab itu saya tidak boleh komen banyak.

Cuma saya faham mengapa orang lontarkan komen tentang pakaian dan sebagainya. Tiada apa yang saya nak cakap selain daripada saya hanya menjadi diri saya dan sentiasa cuba untuk berubah pada masa yang tepat.

“Setiap orang ada pendapat, persepsi masing-masing. Tapi saya juga ada persepsi sendiri tentang perjalanan saya. Jadi sekali lagi, saya terima sahaja,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), semalam.

Meskipun sudah lali dengan komen netizen yang diterima, pelantun lagu Penat itu tetap menghormati padangan dan nasihat untuk memperbaiki diri.

“Saya fikir, komen sebegitu adalah sesuatu yang perlu saya terima sepanjang bergelar anak seni.

Namun, saya masih dalam proses cuba memperbaiki diri. Jadi segala nasihat, teguran atau komen orang ramai saya terima.

“Daripada pihak saya, saya akan lakukan yang terbaik. Mungkin esok, lusa saya akan cuba sesuatu yang baru.

“Kita tidak tahu? Jadi saya terima sahaja apa yang diberikan dan perlu cepat beradaptasi sebagai anak seni,” jelasnya.

Biarpun sering menjadi bahan kecaman, Daiyan mengakui sentiasa positif dan fokus untuk melakukan yang terbaik.

“Saya memang seorang yang positif, beginilah saya.

Saya akan cuba lakukan yang terbaik daripada segi pemakaian, akhlak dan apa jua sekalipun,” tambahnya.

Sebelum ini, Daiyan menerima kecaman selepas tular satu video TikTok yang memperlihatkan dirinya bersama Sophia Liyana, Yaya Zahir dan Azira Shafinaz melakukan aksi tarian mengikut trend semasa di dalam sebuah bilik air.

Aksi berkenaan dianggap tidak bersesuaian memandangkan Daiyan pernah beberapa kali menunaikan umrah.

Dalam perkembangan lain, Daiyan tercalon menerusi dua kategori iaitu Selebriti Feminin Terhangat dan Selebriti Stylo Terhangat AMT 2025.

Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 akan berlangsung pada 3 Ogos 2025, pukul 9 malam dari Dewan Putra, Putrajaya International Convention Centre (PICC). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok