Latihan Pestapora tak gagal total, mujur ada SO7

MEMBAWA sebuah festival muzik paling ‘hype’ di Indonesia ke Malaysia boleh dikatakan satu tindakan berisiko besar buat penganjur.

Manakan tidak, peminat acara tersebut pastinya meletakkan harapan tinggi dan berharap Latihan Pestapora Malaysia setara dengan Pestapora yang setiap tahun sukses berlangsung di Jakarta.

Selepas berbulan-bulan perancangan dan promosi, Latihan Pestapora Malaysia akhirnya melabuhkan tirai pada 26 Julai lalu.

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan kehadiran lebih 25,000 penonton, jika ditolak sebentar permasalahan lain, penulis menganggap acara tersebut berjaya dari aspek barisan penyanyi dan band yang membuat persembahan.

Pentas berkembar yang terletak di tengah stadium dirasmikan dengan persembahan Salam Musik sekitar pukul 1 tengah hari sebelum disambung Pamungkas dan Kunto Aji.

KUNTO AJI tetap membius jiwa peminat dengan lagu-lagu terapinya.

Konsert kemudian dirampas trio lokal, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel dengan persembahan lincah serta memukau dengan membawakan enam buah lagu termasuk Mwa, Damelo dan Bad.

Beralih ke pentas lain, Nadin Amizah berjaya membawa penonton masuk ke dunianya. Semua Aku Dirayakan, Rayuan Perempuan Gila, Bertaut dan Beranjak Dewasa antara lagu yang bergema di SNBJ.

Persis menonton sebuah persembahan muzikal, meski sudah beberapa kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur, Nadin tetap berjaya membuatkan penonton jatuh cinta dengan karya-karyanya.

Barasuara, Efek Rumah Kaca dan Bittersweet turut ditampilkan pada konsert tersebut sebelum SNBJ digegarkan dengan kemunculan band kegilaan anak muda masa kini, Feast dengan seleksi lagu popular mereka, Peradaban, Nina, Tarot dan Arteri.

Semestinya tidak lengkap festival muzik di sini tanpa kehadiran kumpulan Bunkface yang berjaya membuatkan lebih 20,000 penonton berpadu suara dan tenaga menyanyikan lapan buah lagu seperti Revolusi, Panik dan Situasi.

BASKARA meraih perhatian ramai peminat baharu di Latihan Pestapora Malaysia.

Usai Bunkface, Hindia merampas pentas dengan 12 buah lagu popularnya termasuk Evaluasi, Cincin, Rumah Ke Rumah dan Alexandra.

Pentas Latihan Pestapora Malaysia boleh dikatakan menjadi ruang pencinta muzik di sini lebih mengenali sosok utama Hindia yang ditunjangi Baskara. Puas, cukup untuk menggambarkan keterujaan peminatnya pada malam itu.

Satu lagi, pujian perlu diberikan kepada Feast dan Bittersweet yang menunjukkan solidariti terhadap Palestin dalam persembahan mereka. Bravo!

MENJANJIKAN 10 buah lagu, namun semangat dan tenaga luar biasa lebih 20,000 penonton membuatkan SO7 murah hati menambah lapan buah lagu bonus buat hiburan semua.

Ubat rindu

Detik paling dinantikan. Meski jam sudah menunjukkan pukul 10 malam, 25,000 penonton yang membanjiri SNBJ tidak berganjak bagi menyaksikan kemunculan Sheila On 7 (SO7) di pentas.

Manakan tidak, ada yang sanggup membeli tiket berharga ratusan ringgit semata-mata ingin menyaksikan kumpulan yang dianggotai Duta Modjo (vokalis), Eross Candra (gitar) dan Adam (bass) pada malam itu.

Munculnya Duta di pentas, stadium terus gamat dan adrenalin penonton kembali memuncak dengan lagu Betapa, Bila Kau Tak Disampingku, Sephia dan Memori Baik.

Disangkakan hanya 10, namun atas rasa penghargaan terhadap peminat di sini, persembahan mereka ‘lajak’ sehingga 18 buah lagu!

Duta juga kagum melihat semangat penonton pada malam tersebut selain berseloroh mahu membuktikan memiliki stamina tinggi kerana enggan tewas dengan generasi muda yang menontonnya.

“Kalian ‘power’. Ayuh buktikan (kemampuan) kita Eross, tak mahu kalah dengan anak-anak bayi (generasi muda) ini.

DOLLA tetap memanaskan acara dengan penampilan berani dan bertenaga.

“Terima kasih Malaysia dan penganjur Latihan Pestapora 2025,” katanya.

Sepanjang lebih 90 minit persembahan, lagu Berhenti Berharap yang jarang dinyanyikan SO7 dalam mana-mana acara ibarat ‘juara’ keseluruhan. Meremang bulu roma apabila bila satu stadium bergema dengan nyanyian bersama, gila!

Meski diganggu dengan beberapa masalah teknikal, SO7 berjaya mengawal keadaan dengan baik tanpa merencatkan keterujaan peminat.
Melihat wajah puas peminat SO7, ternyata pihak penganjur yang dilibas dengan jutaan kecaman dalam media sosial disebabkan pelbagai kekurangan tidaklah gagal secara keseluruhan.

Membawa dan ‘menurunkan’ SO7 yang sudah tujuh tahun tidak mengadakan konsert di Malaysia adalah kejayaan terbesar mereka.

KUMPULAN Hindia turut menguasai pentas dengan 12 buah lagu popular mereka, termasuk Evaluasi, Cincin, Rumah Ke Rumah dan Alexandra.

Tidak dilupa, pemilihan Feel Koplo, Ari Lesmana dan Sintya Marisca untuk persembahan penutup satu pilihan tepat. Ramai yang memilih untuk bergoyang dan bergelek sebelum pulang, meriah macam dalam kelab dangdut.

Keseluruhannya, rintihan dan keluhan pembeli tiket terutama berkaitan penjualan makanan serta minuman perlu dipandang berat oleh penganjur sekiranya acara tersebut mahu terus berlangsung pada tahun hadapan. Semoga konsert yang disifatkan menyatukan muzik dua negara ini akan diteruskan namun penulis berharap penyanyi atau band dari Malaysia menjadi keutamaan kelak.

KUMPULAN lokal, Bittersweet tidak kalah mempamerkan persembahan cemerlang, termasuk melaungkan solidariti terhadap Palestin.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok