Kerjasama tak jadi, Era tetap bayar kontrak Syed Saddiq

RADIO Era FM memaklumkan impian ramai untuk melihat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bergelar penyampai segmen 3 Pagi Era tidak dapat dilaksanakan buat masa ini susulan masalah yang tak dapat dielakkan.

Menurut Era dalam satu kenyataan hari ini, rancangan tersebut tidak dapat diteruskan meski pun sudah menandatangani perjanjian.

“Pihak kami ingin mengesahkan bahawa kerjasama Era dengan Syed Saddiq tidak dapat diteruskan buat masa ini.

Kerjasama dimeterai atas semangat muafakat yang tinggi, positif dan persefahaman bersama.

“Walaubagaimanapun, perkembangan terbaharu yang tidak dapat dielakkan mendorong kepada perubahan terhadap dinamik Era-Syed Saddiq,” katanya.

Meski tidak dapat direalisasikan, pihaknya tetap akan melunaskan semua perjanjian yang sudah dimeterai termasuk isu bayaran.

Kami juga komited akan melaksanakan apa yang dipersetujui berdasarkan persetujuan bersama.

“Terima kasih kepada semua yang terus setia bersama Era sepanjang 27 tahun ini,” katanya lagi.

Sementara menurut Syed Saddiq, kerjasama tersebut telah dimeterai dan beberapa perjanjian akan menjadi realiti termasuk isu bayaran yang bakal disalurkan dalam bentuk bantuan kepada sekumpulan mahasiswa universiti.

Syed Saddiq mengakui kerjasama tersebut membuatkannya teruja kerana mahu mendidik pendengar menerusi platform radio.

“Pada Khamis lepas, saya telah tandatangan kontrak bersama Era FM untuk sertai 3 Pagi Era sebagai salah seorang penyampai radio mereka. Saya dan Era sama-sama teruja.

“LSaya dah maklumkan kepada mereka 100 peratus gaji saya akan disumbangkan sebagai biasiswa kepada 20 mahasiswa dari Muar, Johor yang berasal dari keluarga susah.

“Saya teruja sebab nak berganding dengan Abang Nabil, Pak Azad dan Radin.

“Saya nak bawa perspektif ‘edutainment’ (hiburan dan pendidikan). Sambil mendidik, kita berhibur,” katanya dalam sebuah video.

Bukan sahaja diri sendiri, bahkan kerjasama tersebut juga membuatkan ibu bapanya teruja dan sepatutnya hadir untuk meraikan pengumuman hari ini.

“Runding, tandatangan kontrak dan penggambaran video semua sudah.

Mama dan ayah sudah rancang nak datang untuk pengumuman hari ini. Anak-anak Muar yang bakal dapat biasiswa pun sudah dimaklumkan.

“Tetapi, semalam saya dimaklumkan oleh pihak Era atas sebab-sebab tertentu kerjasama ini tak dapat diteruskan.

“Apa maksud sebenar sebab-sebab tertentu? Itu adalah cerita untuk hari lain,” jelasnya.

Syed Saddiq bagaimanapun tetap menghargai ketelusan pihak Era yang akan melangsaikan bayaran mengikut perjanjian ditetapkan sebelum ini.

“Namun, saya hargai kejujuran Era dalam bab ini. Saya juga tak mahu rumitkan keadaan untuk pihak mereka.

Era dan Astro tetap berbesar hati mahu lunaskan bayaran kontrak yang dah ditandatangani. Saya akan salurkan 100 peratus jumlah itu ke tabung biasiswa Muar seperti yang dijanjikan.

“Sedih? Tak. Sebab saya percaya, satu pintu rezeki tertutup, sepuluh lagi dibuka.

Kongsi tokoh politik muda itu lagi, di sebalik kedukaan tersebut, dia menerima tawaran lain bernilai lebih sejuta ringgit dan menganggap rezeki berkenaan sebagai aturan hebat daripada Tuhan.

Pada hari yang sama saya diberitahu plan dengan Era terpaksa ditangguh, saya mendapat tawaran-tawaran berbeza yang berjumlah RM1,060,000.

“Sebab itu kawan-kawan, ingat satu sahaja, percaya dengan perancangan Allah SWT,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Era memaklumkan akan menjalin kerjasama dan memiliki seorang lagi penyampai radio baharu bagi segmen 3 Pagi Era bergandingan dengan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok