TERKESAN dengan kes kematian pelajar Zara Qairina, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mendedahkan pernah berhadapan pengalaman buruk ketika zaman persekolahan.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Shuhada Jebat, 33, berkata kerap diganggu dengan pelajar senior yang meluahkan perasaan terhadapnya mengakibatkan tekanan emosi.
“Tingkatan satu saya sekolah perempuan, ada asrama tapi sebab masuk lambat asrama dah penuh. Jadi terpaksa ulang alik, agak jauh dalam 40 minit perjalanan.
“Mula-mula seronok dapat masuk sebab ini antara sekolah perempuan yang terbaik akademik dan ko-kurikulum. Kira bijak pandailah ya.
“Dipendekkan cerita, saya sekolah situ kurang setahun sebab tak tahan asyik kena ngurat dengan ‘kakak-kakak’ senior sampai mental tak stabil. Nak belajar pun dah tak fokus,” katanya dalam perkongsian dalam Threads.
Menurut Ayda lagi, situasi semakin membimbangkan apabila seorang pengawas yang menyukainya mula membuat ugutan agar jangan melayan orang lain melainkan dirinya.
Enggan masalah besar berlaku, Ayda akhirnya mendedahkan situasi kurang menyenangkan yang berlaku di sekolah kepada ibunya dan pengetua.
“Adik, awak dengan dia ni ke? Saya macam, hah? Couple (Pasangan)? Apa benda? Dia kata sebab dia kecoh cakap awak dia punya. Kakak itu tanya, dia ada bagi awak hadiah atau surat tak? Kalau dia suka, bahaya.
“Kakak yang baik tu pesan lagi hati-hati. Saya dah cuba elak pengawas itu hingga satu hari dia kata jaga-jaga. Masa itu saya dah gigil.
“Dia akan tunggu depan kelas setiap waktu rehat! Saya sanggup keluar ke tandas lima minit awal, duduk dalam tandas sekolah, tunggu kawan belikan makan. Saya makan dalam tandas sekolah sebab takut gila,” kongsinya.
Pada hantaran sama, ibu kepada dia cahaya mata itu berpesan kepada mangsa gangguan mahupun buli di sekolah dan di asrama menceritakan keadaan sebenar kepada ibu bapa masing-masing.
Terdahulu, Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaa Agama Tun Datu Mustapha pada 16 Julai lalu ditemui terjatuh dari bangunan asrama pada pukul 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari keesokan harinya dan menjadi tular dalam media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi umum selepas dikaitkan dakwaan dibuli. – HIBGLAM