BERDEPAN tekanan mengundang individu dalam siasatan polis, Apa Cerita? Podcast milik pempengaruh, Asyraf Khalid mengesahkan tidak akan menyiarkan episod bual bicara terbabit.
Menurut kenyataan rasmi pengendali audio siar itu, pihak mereka memohon maaf atas segala kesulitan selain menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Kami mendengar segala maklum balas diberikan dan sedar bahawa ramai berasa kurang senang dengan episod yang bakal kami siarkan.
“Setelah membuat pertimbangan dengan teliti, kami membuat keputusan untuk tidak menyiarkan episod tersebut.
“Kami percaya itu adalah keputusan paling wajar,” tulis kenyataan tersebut di Instagram.
Sebelum ini, aktivis kemasyarakatan dan penyanyi rap, Caprice turut menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa individu ke program audio siar tersebut.
Caprice atau Ariz Ramli, 37, berang apabila individu itu kiga didakwa pernah mengugutnya dan keluarga.
Selain berkongsi semula beberapa foto kecederaan mangsa yang mendakwa dilakukan lelaki itu, Caprice juga berkongsi tangkap layar mesejnya dengan Asyraf.
Terdahulu, netizen menyerang laman sosial Apa Cerita? Podcast selepas Asyraf memuat naik potongan klip pendek video wawancara audio siarnya dengan wajah tetamu tersebut dikaburkan.
Perkongsiannya mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai yang mempersoal motif sebenar suami kepada pelakon Tya Ariffin itu mengundang lelaki terbabit ke program berkenaan. – HIBGLAM