GARA-GARA pin prosedur pembedahan dahulu tertanam pada bahagian pipi, pelakon Zara Zya disangka memakai susuk selepas keputusan imbasan X-ray di sebuah klinik mengesan kewujudan benda asing itu.
Zara atau nama lengkapnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, berkata, situasi terbabit menjadi momen melucukan apabila doktor bertugas bertanyakan perkara tersebut secara berhati-hati.
“Tengah kemas galeri, terjumpa gambar X-ray masa saya buat check up gigi beberapa tahun lepas. Nampak tak sesuatu kat bawah pipi tu?
“Beria-ia doktor suruh staf semua keluar bilik dan dia pun mulalah susun ayat untuk bertanya pada saya.
“Dia bisik, ‘dulu ada pakai susuk ke?’. Pening saya fikir, bila pula saya buat benda tu?,” katanya dalam perkongsian di Threads.
Menurut pelakon drama Dia Imamku itu, bagi mengelak salah faham dia menjelaskan pin yang tertanam di bahagian tersebut adalah daripada pembedahan dilakukan sebelum ini.
“Saya cakap kepada dia itu adalah jarum atau pin sebab saya dahulu buat pembedahan dari pipi ke leher.
“Tetapi, selepas saya dah jelaskan pun dia macam antara nak percaya atau tak,” ujarnya.
Kongsi Zara lagi, pada waktu itu doktor berkenaan juga bercerita pengalaman pernah berdepan pesakit lain yang mengaku mengenakan susuk.
Namun akui petugas perubatan berkenaan, paparan imbasan X-ray dilakukan menunjukkan imej sama tetapi dalam jumlah yang banyak, bukan seperti dirinya.
“Paling kelakar, dari elok dia pasang lagu Sheila On 7, terus tukar zikir. Ingat saya hantu ke?” katanya berseloroh.
Sejak beberapa tahun lalu keadaan kesihatan aktres terbabit terjejas berikutan dua sindrom yang mengakibatkan bahagian leher dan belakangnya sakit.
Zara pernah mendedahkan mempunyai masalah Cervical Facet Syndrome atau sindrom sendi faset leher iaitu punca paling biasa bagi kesakitan leher.
Sendi faset merupakan sendi kecil pada bahagian belakang (aspek posterior) tulang belakang dan mudah terdedah kepada kecederaan dan keradangan.
Beliau sudah menjalani pembedahan membuang beberapa ketumbuhan serta rawatan bagi memulihkan kesakitan yang dihidapi itu sekitar tahun lalu. – HIBGLAM