‘Dah kahwin pun masih ditawar jadi penyondol’

NAMANYA pernah meledak tatkala membintangi beberapa buah drama bersiri fenomena, antaranya Jangan Benci Cintaku dan Sayangku Kapten Mukhriz.

Namun selepas mendirikan rumah tangga pada 2018, nama Nina Baharun seakan-akan sepi daripada radar hiburan.

Dia yang kini bergelar datin dilihat lebih selesa menumpukan fokus terhadap keluarga dan membesarkan dua anak lelaki.

Disebabkan lama menyepi, ada yang beranggapan anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sudah meninggalkan dunia lakonan.

Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa Nina sebenarnya tidak diizinkan suami untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan atas alasan cemburu.

TIADA istilah cemburu, Nina sebaliknya menegaskan suaminya menggalakkannya kembali aktif berlakon.

Menepis semua dakwaan, Nina atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun, 32, berkata, segala tuduhan tersebut tidak berasas minatnya dalam dunia lakonan sentiasa disokong suami tercinta.

“Saya ingin menjelaskan di sini kerana ramai yang salah anggap ingat suami tak izinkan saya berlakon. Sebenarnya suami sangat menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia izinkan saya berlakon.

Sudah lama saya kenal suami, sebelum bergelar pelakon lagi. Tujuh tahun kami berkenalan sebelum berkahwin. Sekarang usia perkahwinan kami pun sudah tujuh tahun.

“Cuma kekangan masa membuatkan saya terpaksa berehat daripada dunia lakonan. Saya mahu fokus membesar dua anak. Tambahan pula anak-anak saya menyusu badan. Jadi susah untuk saya tinggalkan mereka,” katanya.

Tambah pelakon cantik itu lagi, kini dia sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan memandangkan anak-anak sudah besar.

Alhamdulillah tahun ini saya akan terlibat dengan sebuah filem yang belum boleh saya kongsikan butirannya.

“Saya akan bergandingan dengan Raja Afiq dan berapa nama besar di dalam industri.

Raja Afiq sendiri yang request untuk bergandingan dengan saya sebagai heroin memandangkan drama kami sebelum ini iaitu Sayangku Kapten Mukhriz pernah menjadi fenomena.

“Terkejut juga bila dapat mesej daripada Raja Afiq sebab kami sudah lama tidak berhubung sejak masing-masing sudah berkahwin dan buat hal masing-masing,” kongsinya.

NINA berbesar hati masih ada sahabat artis seperti Raja Afiq yang mahu mengajaknya bekerjasama dalam sebuah naskhah tidak lama lagi.

Tak mahu watak penyondol

Mengenali Nina, watak penyondol yang dilakonkannya dalam drama Jangan Benci Cintaku benar-benar memberi impak besar dalam kerjaya lakonannya.

Sejak itu dia sering ditawarkan watak sebagai penyondol meski berhijab.

Bercakap tentang kerinduannya untuk turun padang, Nina sebenarnya tidak lagi mahu membawa watak sebagai penyondol.

Dia sebaliknya teringin membawa watak lebih mencabar kewibawaannya sebagai pelakon.

“Selepas sudah berkahwin pun saya masih ditawarkan watak penyondol. Kalau boleh saya nak bawa watak yang belum pernah dilakonkan sebelum ini.

“Memang saya pernah viral membawakan watak penyondol kerana menjadi penyondol berhijab, tetapi berilah saya watak lain pula. Saya sudah puas bawa watak penyondol,” luahnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok