Alahan berisiko maut, Aliff Syukri ‘serah’ diri ke hospital

ALAHAN berisiko membawa maut, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri terpaksa ‘serah diri’ ke hospital selepas mengalami reaksi kronik akibat gatal-gatal dan kemerahan pada seluruh badan.

Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri bin Kamarzaman, 38, berkata, gejala dialami sejak dua hari lalu tidak surut, sebaliknya menyebabkan pening serta kesukaran bernafas.

Saya terasa pening dan susah bernafas. Badan gatal-gatal, mula-mula sikit lepas itu satu badan jadi kemerah-merahan,” katanya dalam laman sosial.

Suami kepada bekas penyanyi nasyid, Datin Nur Shahida Mohd. Rashid itu turut berkongsi beberapa video sepanjang berada di pusat perubatan terbabit.

Malah keluarganya juga setia menemani ahli perniagaan berkenaan yang kelihatan lesu selain hanya terbaring di katil.

Menurutnya, di peringkat awal dia hanya menganggap situasi dilalui hanya masalah kulit biasa, namun segera mendapatkan rawatan selepas disarankan netizen agar berjumpa pakar.

Pengikut saya suruh pergi hospital, lepas sesi ‘live’ saya terus ke klinik dan kena cucuk. Keadaan tak surut, keesokannya pergi lagi klinik, selepas itu baru saya pergi hospital,” ujarnya.

Difahamkan, alergi kronik boleh menyekat saluran pernafasan yang dipanggil Anaphylaxis (Reaksi Alergi Teruk) membabitkan reaksi alahan yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan berbahaya jika tidak dirawat.

Keadaan itu boleh menyebabkan saluran pernafasan tersekat, tekanan darah turun secara drastik dan dalam kes yang teruk boleh membawa maut.

Terdahulu, dia mengalami kegatalan luar biasa dan tompok-tompok merah yang memenuhi badan sehingga mengganggu aktiviti hariannya termasuk ketika membuat siaran langsung

Aliff memaklumkan keadaan menjadi semakin serius apabila tidak mampu bangun tidur, sekali gus menyebabkan isterinya panik dan segera membawanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Namun Aliff tetap meneruskan kempen mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records menerusi kategori jualan produk paling pantas secara langsung di media sosial pada 3 Ogos nanti.

Bahkan, demi menghargai peminat dan pelanggan setia, dia sanggup turun padang ke Masjid Jamek semalam untuk bertemu orang ramai walaupun dalam keadaan masih lemah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok