SETELAH hampir sedekad mencurah bakti sebagai pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Uyaina Arshad mengumumkan pengunduran dirinya daripada program bual bicara popular itu.
Menerusi satu hantaran di akaun sosial miliknya semalam, Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, memaklumkan keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai pengacara WHI merupakan atas dasar pilihan peribadi dan bukan sebaliknya.
“Selamat tinggal WHI. Hari ini (semalam) adalah hari terakhir Uyaina mengacarakan WHI. Uyaina yang memilih untuk pergi. Tak ada sengketa, tak ada salah faham.
WHI adalah rumah saya dan pasukan WHI adalah keluarga saya. Saya sayang program ini sama seperti sayangnya saya kepada setiap individu yang menjayakannya.
“Kalau ada yang tertanya kenapa, jawapannya cuma satu. Sudah tiba masanya,” katanya.
Menurut Uyaina, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat, namun dia percaya itu adalah langkah terbaik buat dirinya ketika ini.
Bukan mudah untuk buat keputusan ini, tapi saya rasa sudah tiba masanya untuk seorang Uyaina Arshad mengorak langkah menuju sesuatu yang baru.
“Kadangkala, anda hanya perlu tahu bila waktu yang sesuai untuk pergi.
“Alhamdulillah, pencapaian terbesar saya adalah diberi kepercayaan tahun demi tahun untuk mengemudi sebuah program sehebat WHI selama sembilan tahun. Ia bukan satu tempoh yang singkat. MasyaAllah, saya sangat bangga dengan pencapaian ini,” luahnya.
Dalam pada itu, Uyaina turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan serta individu yang telah banyak membimbingnya sepanjang bergelar pengacara WHI.
Di sinilah saya belajar menjadi seorang pengacara yang baik, menyusun kata dengan tepat, menjaga sensitiviti, menghidupkan suasana dan yang paling penting, menghiburkan serta menyampaikan ilmu sebaik mungkin kepada penonton.
“Terima kasih kerana menerima saya dan menjadikan WHI sebahagian daripada rutin harian anda,” katanya.
Hantaran tersebut turut diselitkan dengan momen terakhir Uyaina mengacarakan WHI. – HIBGLAM