MELAKONKAN watak seorang wanita yang berjuang untuk hamil dan memiliki zuriat sendiri bukan satu perkara yang mudah buat Mira Filzah.
Terlalu berat emosi yang perlu dikendong ibu kepada dua cahaya mata itu untuk menjelmakan karakter sebagai Nabilla dengan baik.
Akui pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman watak tersebut memaksanya larut dalam emosi dan berendam dengan air mata.
“Ya, untuk karakter Nabilla, memang saya banyak kali menangis. Saya perlu bermain emosi, terlalu mendalam.
Watak kali ini berbeza dengan Elina dalam Curang Tanpa Niat sebab bermain takdir Tuhan, nak marah tapi tetap perlu usaha untuk dapatkan zuriat.
“Jadi, memang sangat mencabar untuk saya paparkan kesedihan itu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

BIARPUN bergelar isteri dan ibu, Mira Filzah tetap berdepan kesukaran untuk meresap emosi dan karakter wanita yang sedang berusaha mendapatkan zuriat. – foto SYAKIR RADIN
Bercerita lanjut, aktres berusia 32 tahun itu berkata jalan cerita drama arahan Osman Ali itu sangat menyeksa jiwa bahkan air mata boleh menitis dengan hanya membaca skrip.
Dia bahkan bersyukur digandingkan dengan barisan pelakon hebat dalam drama tersebut terutama Hun Haqeem yang memegang watak Aldi dan Ayda Jebat sebagai Farah.
Setiap episod ada air mata, kadang-kadang tak mahu menangis pun, akan termenangis juga bila sudah masuk set penggambaran.
“Dari segi mental memang penat tetapi masih okey dan terkawal, tidaklah terbawa-bawa sehingga ke rumah.
“Hun berjaya menyampaikan Aldi dengan baik, saya tak boleh bayangkan orang lain bawa watak itu. Ayda pula sangat mudah bekerjasama, semua bagus,” ujarnya.
Wanita TTC
Memegang karakter wanita yang sedang berusaha hamil (TTC), Mira menyifatkan golongan tersebut memiliki kekuatan yang luar biasa.
Baginya, hanya yang melalui situasi tersebut mengetahui keperitan, kepayahan dan kesungguhan untuk memiliki cahaya mata daripada rahim mereka sendiri.
“Hanya yang alami sahaja yang boleh faham situasi mereka. Saya yang melakonkan pun sukar untuk dalami watak dan pengalaman dilalui wanita yang TTC.
Kalau dalam dunia realiti, saya ada anak, pernah hamil, jadi untuk saya gambarkan emosi wanita yang berjuang untuk hamil memang sukar dan sukar nak lontarkan tahap kesedihan mereka.
“Saya pada mulanya keliru nak letakkan emosi Nabilla, sama ada wanita yang mudah rapuh atau sangat kuat.
“Tidak rujuk dengan mana-mana watak lain tetapi banyak membaca perkongsian orang ramai dalam media sosial tentang kesuburan, TTC dan rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF). Semua itu sangat membantu,” jelasnya.

BARISAN karyawan dan pelakon Mandul Bukan Pilihan.
Dalam masa sama, dia berharap wanita yang TTC akan terus kuat selain berpendapat, teknologi perubatan zaman sekarang sedikit sebanyak dapat membantu merealisasikan impian untuk bergelar ibu bapa.
“Bila cakap tentang mandul atau TTC, memang sangat ditakuti oleh semua wanita di luar sana.
Sebab untuk melahirkan zuriat, hanya wanita boleh lakukan tetapi saya tahu dengan teknologi zaman sekarang, itu salah satu ikhtiar.
“Bagi saya, wanita TTC sangat kuat. Kalau tidak, tak mugkin Allah SWT uji mereka,” ujarnya lagi.
Bimbingan
Meski dikatakan sudah tersenarai dalam kelas pelakon papan atas, Mira mengakui perlu mendapatkan bimbingan daripada guru lakon iaitu Fatimah Abu Bakar untuk membantunya menjiwai watak dengan baik.
Saya rasa memang perlu ambil kelas tersebut sebab yakin dia boleh membantu saya hidupkan watak Nabilla untuk drama ini. Memang ambil masa juga sehinggakan beberapa hari sebelum mulakan penggambaran pun, saya masih sukar untuk sebati dengan jiwa Nabilla. Banyak yang perlu digali,” tuturnya.
Drama Mandul Bukan Pilihan mengangkat isu kesuburan dalam kalangan wanita dan bagaimana sebuah perkahwinan itu diuji dengan kehadiran orang ketiga.
Drama tersebut yang turut dibintangi Norman Damanhuri, Ashraf Muslim dan Chacha Maembong mula menemui penonton bermula 14 Julai lalu menerusi slot Megadrama saluran Astro Ria. – HIBGLAM