“BALIK rumah dan cermin diri. Layak ke duduk dalam industri?”
Itu antara kata-kata tajam dilemparkan seorang artis lelaki kepada penyanyi Shiha Zikir sehingga membuatkan dirinya diserang panik dan hampir hilang keyakinan diri.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 37, berkata, insiden itu berlaku ketika kariernya baru bertapak, namun cukup mengguris hati memandangkan individu terbabit merupakan artis senior yang sangat dikaguminya.
Ada seorang artis lelaki telefon saya. Katanya saya tak layak berada dalam industri. Saya terus panik dan sangat terkesan.
“Saya memang kagum dan menginspirasikannya. Saya terkejut dia buat macam itu.
“Saya hanya memberi reaksi biasa sahaja. Saya pernah berjumpa dengannya dan dia yang malu sendiri,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah pelantun lagu Renjana itu, kejadian tersebut membuatkan dirinya menjadi lebih selektif dalam memilih rakan-rakan artis, apatah lagi selepas beberapa kali dikhianati.
“Saya tak ramai kawan artis sebab pernah alami situasi depan lain, belakang lain. Depan sangat baik, tapi belakang hentam.
Pernah juga satu ketika, saya duduk semeja dengan seorang artis, dia bangun dan cakap dia menyampah dengan budak baharu. Saya diam je. Tapi lepas beberapa tahun, dia pula datang cari saya tanya pasal kerja.
“Saya tak suka masuk campur. Kalau ada benda negatif, saya lebih suka menjauh. Saya tak nak energi saya terganggu,” luahnya.
Pendedahan berani Shiha menarik perhatian ramai netizen yang rata-rata memuji sikapnya yang tetap profesional dan tidak membalas dengan cara sama.
“Shiha memang low profile, tapi selalu bagi 100 peratus bila bekerja. Tak hairan kalau masih bertahan, apa punya perangai artis senior nak perlekehkan orang,” komen seorang netizen.
Artis begini kita patut sokong. Tak suka drama, tak suka gaduh, cuma buat kerja dia je,” ujar peminat.
“Kalau bukan sebab bakat, takkan dia boleh kekal lama. Haters akan tetap cari salah dan faham betapa sakitnya berdepan hinaan daripada orang yang kita sendiri kagumi,” tambah seorang pengguna media sosial.
Shiha kini aktif dengan pelbagai undangan persembahan dan kekal relevan sebagai penyanyi versatil serta figura seni yang tidak pernah bergantung pada populariti semata. – HIBGLAM