‘Bukan Datuk beli, suami Nelydia ada sumbangan sektor hartanah’

MENANGKIS dakwaan ‘beli’ gelaran, pelakon Uqasha Senrose menegaskan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk diterima adik iparnya, Hafez Halimi adalah atas sumbangan dalam sektor pembangunan dan hartanah.

Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nik Sen, 33, berkata, suami kepada adiknya juga pelakon, Nelydia Senrose itu sememangnya berada dalam senarai penerima darjah kebesaran tersebut.

“Yang dapat gelaran Datuk adalah suami dia (Nelydia) dan automatik dia dapat datin. Jadi, apabila saya baca ada yang cakap datuk dibeli dan sebagainya, apa yang boleh saya cakap suami dia memang usahawan.

“Adik ipar saya juga merupakan kerabat Terengganu selain banyak terbabit dalam projek perumahan serta pembangunan hartanah.

“Atas dasar sumbangan itulah darjah kebesaran diberi. Kalau kata dia beli datuk sudah lama rasanya dapat,” katanya selepas tayangan perdana filem Munajjim: Sekutu Iblis, malam tadi.

Menurut Uqasha, sebagai kakak pastinya dia tumpang gembira dan berbangga atas pengiktirafan yang diperoleh adik ipar serta adiknya itu.

“Ya, saya bangga dia jadi datin,” ujarnya.

Sabtu lalu, Nelydia menerima banyak ucapan tahniah apabila suaminya dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk sempena Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang di Istana Abdul Aziz, Kuantan.

Pada awalnya berita terbabit dikongsi seorang jurusolek sebelum Nelydia sendiri mengulang siar hantaran berkenaan.

Mengenai filem Munajjim: Sekutu Iblis pula, Uqasha membawakan watak isteri kepada Ayden lakonan Farid Kamil iaitu Zara yang berdepan gangguan akibat ketaksuban suami dan mentua terhadap bomoh.

Kata isteri kepada pelakon Kamal Adli itu, naskhah genre seram terbabit merupakan penampilan pertama selepas lebih setahun bercuti berikutan melahirkan anak sulungnya, Hawra Uqaira.

“Waktu itu anak saya sudah mencecah umur enam bulan, jadi saya terima tawaran tersebut apatah lagi skripnya bagus ditambah gandingan mantap seperti Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon dan Sherrie Merlis.

“Cuma ada rasa segan sedikit kerana pada waktu itu saya masih dalam fasa mendapatkan bentuk badan asal, tetapi bersyukur penerbit dan pengarah tetap beri kepercayaan penuh,” katanya.

Munajjim: Sekutu Iblis arahan Faizul A Rashid dijadualkan menemui penonton bermula 31 Julai ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok