SELEPAS tiga hari terbaring lemah diserang demam panas, pelakon Ruhainies akhirnya kembali pulih dan mampu meraikan ulang tahun kelahiran ke-33 dengan penuh makna.
Ujar Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, dia dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara selepas kesihatannya merosot secara mendadak.
Saya dikejarkan ke hospital selepas tiga hari demam panas. Syukur, selepas menerima suntikan steroid dan beberapa jenis ubat, keadaan saya kembali stabil.
“Alhamdulillah, saya dijaga jururawat serta doktor pakar yang sangat berdedikasi. Mereka buat saya rasa tenang dan terjamin sepanjang berada di sana,” katanya menerusi satu hantaran Instagram Story.
Tambah pelakon drama Hikayat Pak Belalang itu, pengalaman tersebut mengajarnya untuk lebih menghargai nikmat kesihatan, apatah lagi berlaku hanya beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya.
Malah dia turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar sentiasa peka terhadap kesihatan diri serta mengutamakan gaya hidup sihat.
“Jangan ambil mudah kalau badan mula beri petanda. Dengar cakap tubuh anda
Minum air secukupnya, rehat dan sayangilah diri. Kesihatan itu satu kekayaan,” ujarnya.
Enggan terus meratapi kesakitan, Ruhainies tetap mengukir senyuman apabila diraikan insan tersayang di sebuah restoran mewah, lengkap dengan kek, jambangan bunga dan seutas rantai istimewa.
Tahun berganti, nikmat terus mengalir. Syukur atas kasih sayang dan dikelilingi keluarga tercinta, sahabat sejati dan lingkaran insan berhati emas.
“Terima kasih ya Allah, atas segalanya. Alhamdulillah, sentiasa,” tulisnya beserta video sedang memotong kek
Rata-rata netizen turut memuji semangat Ruhainies yang tetap kelihatan ceria dan gigih menyambut hari jadi meskipun baru sahaja keluar hospital.
“Bukan calang-calang. Baru sihat terus sambut hari jadi. Memang strong girl!” komen seorang pengikut.
“Meletup keluar hospital terus sambut hari lahir, definisi gigih. Apapun moga panjang umur Ruhainies” tulis seorang lagi netizen.
“Moga terus sihat dan makin bersinar dalam karier. Happy birthday, queen Ruhainies!” kata seorang peminat
Untuk rekod, Ruhainies menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada 27 Julai lalu namun baru berpeluang meraikannya semalam. – HIBGLAM