‘Badan berbau bukan dosa besar, tak perlu heboh satu dunia’

KECOH isu pelakon badan berbau, aktor senior Faizal Hussein menyifatkan perkara tersebut sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan anak seni yang seharian berkampung di set penggambaran.

Memilih bersikap profesional dan menjaga aib sesama rakan industri, Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Hussein, 58, mengakui sudah banyak kali berdepan situasi sama namun enggan menjadikannya isu besar apatah lagi dihebahkan dalam media sosial.

“Kalau ada pelakon badan berbau, tak kira lelaki atau perempuan, takkan ada siapa pun tahu. Walaupun saya sendiri pernah melaluinya.

Bahkan, saya rasa pengalaman saya berdepan situasi begini jauh lebih banyak berbanding pelakon yang bersuara itu. Tapi benda-benda macam ni takkan saya bawa ke media sosial.

“Benda itu saya simpan sendiri. Saya jenis orang, kalau tak suka seseorang, orang tu tak akan tahu. Hadap dan hadam sahaja. Mungkin sebab itu juga bayaran saya mahal,” katanya kepada HibGlam.

Menegaskan bau badan bukan satu dosa besar, pelakon drama Bidaah itu menyifatkan isu terbabit tidak sepatutnya dijadikan bahan perbualan umum memandangkan setiap manusia tidak terlepas daripada kekurangan.

Kalau pergi solat Jumaat pun, macam-macam bau kita boleh hidu. Kita puasa pun mulut dah berbau. Bau kasturi, kata orang. Jadi benda tu normal.

“Jadi bagi saya, sebagai orang dewasa, apa sahaja pandangan atau ketidakselesaan, simpan sahajalah untuk diri sendiri. Tak semua perkara kena beritahu satu dunia,” ujarnya.

Bagi Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2019 itu, sikap membesar-besarkan perkara remeh hanya akan membuka ruang terhadap publisiti murahan yang tidak membantu kelangsungan karier seni untuk jangka masa panjang.

Zaman sekarang, orang dah terbiasa dengan konsep ‘good or bad publicity tetap publicity’. Tapi mereka tak fikir pun yang hidup dengan cara begitu tak akan panjangkan karier mereka.

“Mereka hanya fikir untuk tempoh sekejap. Kalau nak bertahan lama, kena jaga imej. Jangan sampai penonton muak. Itu prinsip saya dalam industri ini,” tegasnya pada Melodi Terhangat Superstar Tour, di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Faizal turut tercalon dalam senarai Top 10 kategori Selebriti Maskulin Terhangat untuk Anugerah Melodi Terhangat.

Antara nama lain yang turut bersaing termasuk Datuk Rosyam Noor, Datuk Adi Putra, Datuk Remy Ishak, MK K-Clique, Syafiq Kyle, Zamarul Hisham, Sharnaaz Ahmad, Redza Rosli dan Fattah Amin.

Terdahulu, isu bau badan pelakon ketika penggambaran dibangkitkan Harissa Adlynn apabila bergandingan dengan individu yang didakwa tidak menjaga kebersihan diri, sehingga menyebabkan ketidakselesaan di lokasi penggambarab – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok