SELEPAS dikecam hebat susulan isu penganjuran Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza, syarikat penganjur Universe Gateway tampil mengakui kesilapan mereka dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dalam konsert akan datang.
Timbalan Pengerusi Universe Gateway, Zambri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap segala kegusaran peminat dan memastikan langkah-langkah penambahbaikan dirangka khusus untuk Konsert Intifada Rabbani yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Pihak kita ambil maklum tentang kegusaran peminat rentetan isu penganjuran konsert sebelum ini. Namun ingin saya maklumkan isu tersebut sudah pun selesai.
“Insya-Allah untuk konsert Rabbani ini kami akan lakukan penambahbaikan. Kami tidak janji akan seratus sempurna namun kami akan berusaha memanimakan kesalahan.
“Rabbani sudah sedia maklum tentang isu sebelum ini, kami sudah beri satu prosedur yang jelas kepada mereka. Kali ini tempat tertutup dan harap masalah dapat diatasi,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert Intifada Rabbani di Ruema Cafe & Event, hari ini.
Mengulas lanjut, Zambri memberitahu pihaknya sudah menyelesaikan krisis yang berlaku dengan beberapa individu yang menghubungi mereka.
“Ada beberapa yang sudah menghubungi kami berhubung isu tersebut, kami juga sudah memulangkan sejumlah wang kepada mereka yang membuat aduan sebagai ganti rugi.
“Pihak kami juga tidak pernah melarikan diri dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya,” kongsinya lagi.
Sementara itu, anggota kumpulan Rabbani iaitu Azadan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan beberapa syarat kepada penganjur termasuk perancangan lain sekiranya penjualan tiket tidak memberangsangkan.
“Pihak kami sedia maklum tentang masalah yang terpalit dengan syarikat ini, namun kami tidak mahu fikir perkara yang sudah lepas.
“Demi menjaga nama baik dan tidak mahu berdepan perkara berbangkit pada masa akan datang, kami meletakan syarat kepada penganjur. Antaranya, mempunyai perancangan lain atau ‘plan B’ sekiranya tiket konsert tidak terjual.
“Saya percaya untuk memastikan konsert ini berjalan lancar, perlu ada sistem yang teratur dan bersepadu,” ujarnya.
Sebelum ini, Universal Gateway dikecam hebat selepas menerima maklum balas negatif daripada pengunjung berikutan penganjuran Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza.
Antara isu yang dibangkitkan adalah masalah tempat duduk yang tidak sistematik sehingga menimbulkan kekecohan.
Lebih parah ada pembeli tiket kategori VIP terpaksa duduk di zon yang lebih murah disebabkan kecuaian penganjur.
Dalam perkembangan lain, Konsert Intifada Rabbani bakal diadakan pada 20 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai ini di platform Ticket2u dan Fantopia.io. – HIBGLAM.