PELAKON baharu Saidah Kamarudin tidak berkecil hati dengan segelintir rakan artis yang memerlinya rentetan isu putus tunang dengan Muntazar Ghufran.
Menurut Saidah atau nama lengkapnya Nur Saidah Syahirah Kamarudin, 29, mereka tidak tahu perkara sebenar yang berlaku dan dia tidak perlu jelaskan satu per satu.
“Saya tak boleh nak ulas lebih-lebih tentang perkara ini. Mereka mungkin tahu sedikit sahaja. Mereka tidak tahu konteks disebaliknya.
“Kalau saya di tempat mereka pun mungkin saya akan buat perkara yang sama. Pada saya, biar sajalah,” katanya ketika ditemui pada Malaysia Bridal Fashion Week 2025, di sini, baru-baru ini.
Ditanya sama ada pernah berdepan situasi dipandang serong rakan seindustri, finalis Dewi Remaja 2019 itu mengaku kewujudan perkara terbabit.
“Memang ada. Tetapi bagi saya industri ini kecil sahaja. Lambat laun kita akan saling bertemu juga,” ujarnya.
Hadir ke acara perkahwinan, kata Saidah, sedikit sebanyak timbul rasa sedih di sudut hatinya apabila melihat busana perkahwinan yang indah melewati pentas.
“Ada juga timbul perasan ‘it supposed to be me’ (patutnya saya). Tapi tak apa.
“Mungkin ada jodoh yang lebih baik selepas ini. Tak apa kita tengok dan ‘lock’ baju mana yang kita nak untuk majlis kahwin nanti,” jelasnya.
Saidah mengikat tali pertunangan dengan Muntazar pada Mei 2024 selepas setahun berkenalan, namun ikatan itu terputus lima bulan selepas bertunang dan mereka hanya mengumumkan perkara tersebut pada Mac tahun ini.
Situasi menjadi semakin hangat selepas Saidah mendedahkan Muntazar hanya mempunyai RM500 di dalam akaun dan perkara itu membuatkan dia berasa Muntazar belum layak untuk bergelar suami. – HIBGLAM