DITUDUH cuba menutup periuk nasi orang lain, pelakon Datuk Aaron Aziz menegaskan pendedahan membabitkan penipuan pakej umrah dilakukan sebagai peringatan umum agar semua berwaspada.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 52, berkata, dia bimbang sekiranya pihak lain menerima nasib malang sepertinya berdepan penganiayaan.
“Kepada staf dan kawan-kawan syarikat agensi ini yang mengatakan hantaran saya menutup sumber rezeki mereka, saya tidak mahu orang berdaftar dianiayai.
“Jadi, inilah keadaannya. Kalau saya tidak bersuara, berapa ramai lagi yang akan diperlakukan sedemikian?” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian sama, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu memuat naik semula status seorang pemilik akaun lain mengenai nasib sekumpulan jemaah umrah di Taif, Arab Saudi.
Dipercayai, luahan dalam laman sosial itu mempunyai kaitan dengan agensi yang masih berhutang sebanyak RM65,000 dengan Aaron.
Pada 18 Julai lalu, bapa kepada tiga anak itu meluahkan perasan kecewa atas kerugian yang ditanggung akibat tindakan tidak jujur agensi terbabit.
Dia menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah agensi pengurusan umrah jika masih berdegil enggan membayar hutang sebanyak RM65,000 kepadanya.
Amaran tersebut dikeluarkan selepas mendapati pihak terbabit cuba mengelak untuk berurusan dengannya bagi menyelesaikan bayaran tersebut
“Awak hilangkan diri. Jadi, tolong selesaikan hutang saya secepat mungkin ataupun berhubung dengan saya. Jangan ‘matikan’ diri. RM65,000 belum dibayar,” ulasnya.
Dalam hantaran sama, Aaron memaklumkan dia terpaksa menggunakan duit yuran persekolahan anaknya bagi membantu syarikat itu. – HIBGLAM