MENGAGUMI selebriti Erra Fazira, pelakon Abby Abadi mengakui Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu memberi pengaruh besar terhadapnya untuk berkecimpung dalam dunia seni.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, berkata, pernah menonton filem Sembilu lakonan idolanya itu sebanyak enam kali disebabkan terlampau minat.
“Saya pernah beritahu Erra antara sebab saya berminat nak jadi artis kerana mahu jadi seperti Erra Fazira.
“Pengaruh awal paling kuat dalam kehidupan saya adalah filem Sembilu,
enam kali saya tengok di pawagam walaupun duit tidak berapa nak ada ketika itu,” katanya menerusi Instagram.
Abby berkongsi beberapa gambar bersama aktres, penyanyi dan ratu cantik itu ketika mereka minum petang dengan pelakon drama berdiri Gerak Khas.
Selain Erra, antara yang hadir ialah Norman Hakim, Salina Saibi serta Shira Iskandar serta Sheera Iskandar.
Kongsi Abby lagi, cara pembawaan diri, personaliti serta gaya artis kegemarannya itu membuatkannya semakin teruja mengikut jejak langkah Erra.
“Rajinlah saya berangan nak sentiasa cantik. Gigih beli majalah hiburan sebab minat dan sentiasa mengikuti segala yang berkaitan Erra.
“Sebab itu saya tahu Erra pakai ‘toner’ dari muda. Jenama apa pun saya tahu,”
ujarnya.
Mengimbas semula memori di awal pembabitan sebagai pelakon, katanya ketika itu bayaran agak kecil namun menyuntik pelbagai pengalaman berharga.
Malah katanya dari situ dia akhirnya dapat bergandingan dengan aktres yang menjadi pengaruh besar terhadap kerjaya seninya.
“Tahun 1995 atau 1996 masa sibuk nak jadi artis, dapatah watak tambahan filem Datuk Yusof Haslam. Seharian meramaikan babak dalam disko.
“Tahu dapat berapa? Pilu nak sebut, (tetapi) pengalaman yang mendewasakan.
“Nak sangat jadi artis Allah izinkan. Nak jadi Erra Fazira, dapat juga berlakon dengan dia. Banyak kenangan indah bersama,” katanya.
Selain drama Gerak Khas, Abby dan Erra pernah digandingkan dalam filem Pasrah pada tahun 2000 dan setahun tampil menerusi Gerak Khas The Movie. – HIBGLAM