DEMI membantu pelakon veteran Dharma Harun Al Rashid, penerbit drama, Datuk A. Aida bakal memberi peluang lakonan setiap bulan selama setahun kepadanya.
Pemilik syarikat produksi A. Aida Production itu berkata, tawaran berkenaan diberikan sekiranya prestasi Dharma dalam telefilem Kisah Cinta Kau & Aku yang akan menjalani penggambaran pada 15 Ogos ini memuaskan.
“Saya mahu lihat kemampuannya dalam telefilem Kisah Cinta Kau & Aku yang akan jalani penggambaran tidak lama lagi.
“Insya-Allah, jika lakonannya bagus, saya akan terus memberi tawaran lakonan kepadanya. Setahun saya akan jaga dia.
“Sekurang-kurangnya sebulan sekali saya akan cuba ambil Dharma berlakon dalam drama terbitan saya. Semoga Allah permudahkan niat saya itu,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media telefilem Bos Nak Cuti lakonan Aniq Suhair dan Azeva Natassha yang akan bersiaran di Salam HD 113 bermula hari ini.
Tambah A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 55, tawaran diberikan mungkin tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya Dharma mempunyai pendapatan tetap untuk menjelaskan komitmen bulanannya.
Malah, A. Aida berkata. dia juga akan mempertimbangkan tawaran lakonan untuk anak bintang veteran itu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman yang juga pelajar ijazah sarjana muda Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Bayaran akan saya berikan mengikut babak yang beliau jayakan. Jika banyak babak, banyaklah bayaran yang beliau dapat.
“Jika watak sampingan sekalipun mungkin dapatlah dalam RM2,000 ke RM3,000 setidak-tidaknya dapatlah Dharma selesaikan sewa bulanannya. Memang niat saya hendak bantu Dharma.
“Saya juga mungkin akan beri peluang pada Syafiq kerana dengarnya dia minat berlakon dan kebetulan dia pun pelajar Aswara, sudah tentu mempunyai kebolehan dalam lakonan,” katanya lagi.
Terdahulu, keadaan kesihatan Dharma, 69, yang berdepan pelbagai masalah kesihatan hingga berat badannya turun mendadak ke 45 kilogram mengundang kebimbangan ramai.
Difahamkan berat badan pelakon era 1980-an itu menyusut berikutan tiada tawaran lakonan selama tiga tahun.
Susulan itu, ramai netizen menyarankan Syafiq dan kakaknya, Siti Qurratu Aini yang juga belajar di Aswara menamatkan pengajian mereka bagi mencari kerja apatah lagi ketika ini keluarga terbabit berdepan masalah kewangan. – HIBGLAM