PERINTIS genre sambarock tempatan, Darkkey Nagaraja bakal menggegarkan Panggung Bangsawan Melaka pada 2 Ogos ini menerusi konsert amal sulungnya, I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert.
Anjuran Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) dengan kerjasama Patahati Universe, Tourism Melaka dan Panggung Bangsawan Melaka, persembahan tersebut diadakan bagi mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan serta mendekatkan seni dengan masyarakat.
Menurut presiden MMPCC, T. Manimaran, kolaborasi bersama Darkkey itu bukan sahaja bertujuan mengumpul dana kerja kebajikan tetapi juga sebagai penghormatan terhadap sumbangannya dalam industri muzik Tamil tempatan dan luar negara.
“Darkkey mendominasi arena muzik rock Tamil tempatan sejak era 90-an dan masih relevan hingga kini. Konsert ini adalah manifestasi perjuangan seninya yang konsisten selain membantu MMPCC melaksanakan misi kebajikan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka, Datin Sukhirah Ibrahim, menyifatkan konsert ini sebagai permulaan kepada lebih banyak acara seni berskala besar yang akan memanfaatkan fasiliti moden bekas panggung Cathay itu, yang kini dibangunkan semula oleh MCorp sebagai pusat seni Melaka.
“Uniknya Panggung Bangsawan Melaka ini, asalnya panggung wayang lama Cathay, terletak di zon buffer UNESCO. Lokasi itu direnovasi Perbadanan Melaka atau MCorp pada tahun lalu untuk dibangunkan sebagai hab seni bagi persembahan live (secara langsung) di Melaka.
“Tidak hanya teater dan bangsawan, jadual pada tahun ini turut menyaksikan konsert seunik Darkkey ini yang dikemukakan Patahati Universe dengan beberapa perancangan lain yang bakal membuka era baru dalam penganjuran acara di Melaka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Projek Patahati Universe, Cassandra berkata, usaha tersebut juga bakal menjadikan Melaka sebagai tarikan baru bagi para pelancong.
“Dengan nilai estetika bandar ini dan harga tiket yang lebih kompetitif, kami yakin Melaka mampu menarik lebih ramai nama besar industri,” ujarnya.
Tiket sudah mula dijual menerusi laman web ilassotickets.com pada harga RM69 hingga RM89 sahaja termasuk barangan eksklusif seperti lanyard dan poster bertandatangan.
Pelantun lagu Puli Puli itu tampil buat julung kali sebagai teraju utama dalam konsert berdurasi dua jam yang turut menampilkan penyanyi muda, Santesh dan Zubir Khan, sebagai simbol penyatuan tiga generasi pengkarya muzik Tamil di pentas bersejarah.
Ahli kumpulan pemuzik era 1990-an, Darkey & The Keys itu, baru-baru ini mencuri perhatian industri perfileman India menerusi lagu AK The Tiger ciptaannya untuk filem Tamil Good Bad Ugly. – HIBGLAM