SELEBRITI sensasi, Aliff Aziz tidak berasa cemburu bahkan reda dengan kehidupan bekas isterinya, Bella Astillah yang dilihat semakin bahagia.
Memetik laporan berita Berita Minggu Singapura, Aliff, 34, berkata, dia malah terbuka dan mendoakan yang terbaik buat Bella yang kini sering dikaitkan dengan ahli politik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga diberi gelaran sebagai BASS.
Katanya, setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya dianggap sudah berlalu selain memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.
“Ayden dan Ara dikerumuni orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah.
“Itu yang pertama saya fikir. Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik, itu sudah memadai,” katanya.
Penyanyi kelahiran Singapura itu bersyukur kerana anak-anaknya berada dalam jagaan individu yang menyayangi mereka meski masih belum berpeluang untuk bertemu sejak tahun lalu.
Malah, dia juga mengakui sukar menonton rakaman video mereka hingga habis kerana terlalu sebak.
“Saya sangat rindu. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula, dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.
“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara. Saya sangat sayang dan rindukan kalian berdua,” ujarnya.
Dia juga berharap takdir akan mengatur pertemuan bersama dua anaknya sekali gus berpeluang menjelaskan banyak perkara yang selama ini terpendam.
Menerusi temu bual sama, Aliff tidak berselindung mengakui dihambat rasa bersalah kerana tidak dapat bersama Ayden dan Ara pada saat mereka membesar.
Ketika ini, nama Bella hangat menjadi bualan ramai apabila didakwa menjalin hubungan istimewa dengan Syed Saddiq sejak mereka digandingkan sebagai duta sebuah jenama pakaian.
Sebelum ini, Bella dan Aliff disahkan bercerai talak satu pada 13 Jun tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Selepas perceraian tersebut, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh ke atas dua anak mereka, Ayden, 8, dan Ara, 5, kepada Bella. – HIBGLAM