‘Takkan nak tegur badan dia berbau , tak sopan’

MASALAH individu badan berbau adakalanya menjadi serius apabila menyusahkan atau menjejaskan pihak lain yang sensitif dengan bau tidak menyenangkan.

Mengakui pernah berdepan situasi serupa terutama ketika sama-sama berpeluh di di set penggambaran,  pelakon Scha Elinnea bagaimanapun lebih selesa mengambil sikap profesional, berdiam dan meneruskan komitmen tanpa banyak bunyi.

Kata pemilik nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, sikap sebegitu lebih selamat daripada terbuka memberi teguran bimbang menimbulkan suasana tidak harmoni  di tempat mencari makan. 

“Isu badan berbau adalah perkara biasa. Memang perkara sebegini wujud di set penggambaran. Kadang-kadang kita berlakon di tempat terbuka di bawah panas terik. 

“Tetapi nak buat macam mana, takkan kita nak pergi tegur pelakon itu cakap badan dia berbau. Tidak sopan. Tidak semua orang boleh terima teguran. Nanti dia sakit hati dengan kita pula. 

“Macam saya, jika pelakon gandingan saya berbau, saya teruskan sahaja dan jadi profesional. Cuma bila tak ada babak bersama, saya buat hal sendiri,” katanya ketika ditemui di Malaysia Bridal Fashion Week 2025, di sini, semalam. 

Tambah pelakon Anak Anak Mafia itu lagi, dia tidak akan membiarkan masalah bau badan pelakon lain mengganggu konsentrasinya di set penggambaran. 

“Saya ada banyak lagi perkara nak fikir. Takkan saya nak jadikan masalah bau badan pelakon lain sebagai masalah utama. Yang penting masing-masing ‘deliver’. Nak buat macam mana, tiada manusia yang sempurna,” jelasnya. 

Pun begitu kata Scha, kebersihan diri perlu dititikberatkan oleh setiap manusia agar tidak mengganggu persekitaran dan membuat orang lain tidak selesa. 

“Macam saya setiap kali salin pakaian, saya akan pastikan saya sembur minyak wangi dari atas sampai bawah,” kongsinya. 

Terdahulu baru-baru ini seorang pelakon baharu mendedahkan dia terpaksa menahan nafas apabila bergandingan dengan pelakon yang memiliki badan berbau di set penggambaran. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok