‘Restoran kedua buat Ebby Yus, terima kasih doakan saya’

KEPRIHATINAN terhadap rakan seindustri terus dizahirkan oleh pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro apabila membuka cawangan kedua restorannya dan menghadiahkannya kepada pelakon, Ebby Yus sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas persahabatan mereka.

Menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya, Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanafi Razak, 40, membuat kejutan dengan menziarahi Ebby di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Hari ini saya nak buat kejutan kali kedua untuk Abang Ebby. Dia seorang yang rajin, selalu datang ke kedai dan bersembang dengan pelanggan. Saya kasihan melihat dia kerap berulang-alik, jadi saya buka cawangan baharu yang lebih dekat supaya dia tak penat.

“Lepas ini dia boleh datang selalu ke kedai cawangan baru, lebih dekat dengan rumah dia,” katanya.

Penyampai radio Suria FM itu turut menyerahkan kontrak pengurusan cawangan terbaharu kepada Ebby, sebagai tanda penghargaan atas doa dan sokongan tidak putus yang diterimanya daripada pelakon tersebut.

“Alhamdulillah, saya dapat buka satu lagi cawangan. Sama juga, cawangan ini untuk Abang Ebby.

Terima kasih selalu jadi tulang belakang saya. Saya rasa semua ini asbab doa abang. Harap abang gembira dan terus mendoakan kejayaan kita sama-sama,” tambahnya lagi.

Ebby atau nama lengkapnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, turut meluahkan rasa syukur dan menghargai kemurahan hati Ajak yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan terhadapnya.

Terima kasih Ajak, aku tak tahu nak cakap macam mana tapi terima kasih banyak-banyak.

“Dalam keadaan sebegini, aku hanya mampu berdoa agar rezeki dilimpah ruah sebab aku dah tak terdaya dan tak termampu,” luahnya.

Sebelum ini, Ajak turut menghadiahkan cawangan restorannya di Pasar Seni kepada Ebby sebagai ikhtiar meringankan beban pelakon itu yang ketika itu berdepan masalah kesihatan.

Untuk rekod, Ebby sebelum ini dilaporkan menghidap masalah buah pinggang dan jantung serta telah menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok