‘Kalau meroyan dalam media sosial ada ke yang bantu?’

BERGELAR penghibur selama empat dekad bukan satu tempoh singkat buat pemilik nama Sheila Majid.

Bertahan sebagai penghibur papan atas selama 40 tahun, Sheila membuktikan kejayaan itu boleh dicapai tanpa kebergantungan terhadap media sosial yang dilihat menjadi medium promosi utama untuk pelbagai bidang hari ini.

Kata pemilik nama lengkap Shaheila Majid itu, kehidupannya hari ini tenang dan tidak porak-peranda kerana menolak untuk menjadikan semua yang berlaku dalam media sosial sebagai ‘kiblat’ hidupnya.

TIADA rahsia badan kekal sihat tanpa sebarang penyakit, Sheila hanya mengamalkan minum air suam dan menolak sebarang minuman berkarbonat.

Media sosial

Telah melalui pelbagai era, dia mengakui zaman teknologi hari ini mengubah banyak perspektif dalam hidupnya, namun akan terus bijak menggunakannya agar tidak memakan diri sendiri.

Saya jenis ‘orang lama’, perkara yang saya nak muat naik dalam media sosial selalunya lebih kepada perkongsian informasi untuk timbulkan kesedaran terhadap sesuatu isu.

“Sebagai selebriti pula, kita seharusnya menggunakan media sosial secara betul. Kalau terlalu banyak berkongsi, orang muak nak tengok.

Paling penting, setiap kali sebelum saya kongsi apa sahaja perkara seperti foto, pasti ambil masa berjam-jam lamanya untuk tapis supaya tak jadi bahan kecaman.

“Tidak semua orang suka kita. Jadi, kita kena sentiasa berhati-hati untuk setiap perkongsian,” katanya pada sidang media pengumuman Konsert Sheila Majid 40 Years in Music baru-baru ini.

Popular dengan lagu Sinaran, dia menegaskan tidak akan sesekali menggunakan platform media sosial untuk melempiaskan sebarang emosi atau ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.

Tegasnya, meluahkan masalah secara terbuka dengan orang tak dikenali dalam media sosial bukan cara terbaik untuk mendapatkan jalan penyelesaian yang tepat.

Saya tak pernah terfikir untuk meluahkan sebarang masalah dalam media sosial, lebih baik berdoa dan minta kepada Allah SWT.

“Kalau saya meroyan dalam media sosial ada ke yang boleh membantu saya atau sekadar menjadi satu bahan bualan ramai sahaja,” katanya.

MESKI berkali-kali menjayakan konsert besar, Sheila Majid 40 Years in Music bakal menjadi pentas pertama Ratu Jazz itu beraksi di Axiata Arena. – FARIS RUSADIO

Sempat dilayang pertanyaan sama ada pernah berasa lelah dengan rutin sebagai selebriti, dia mengakui perkataan penat pernah wujud di benak fikirannya.

Penat tetapi ini perkara yang saya suka dan minat cuma tidak terfikir masih mampu bertahan sehingga ke usia sekarang. Sokongan peminat antara sebab utama saya masih berada di sini.

“Selagi Allah berikan rezeki, saya teruskan dan sentiasa berharap Dia membuka lebih banyak pintu nikmat lain,” ujarnya.

Konsert

Bakal mengadakan sebuah konsert berskala besar di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 November depan, Sheila teruja dapat meraikan empat dekad kerjaya seni bersama para peminat setianya.

Berkongsi persiapan, fokusnya ketika ini adalah menjaga stamina agar mampu melunaskan persembahan berdurasi tiga jam dengan baik.

“Persiapan sudah bermula, saya perlu jaga stamina, maklumlah sudah berusia. Insya-Allah akan lakukan yang terbaik nanti.

Saya tak ada pantang makan tetapi memang tak minum air sejuk dan amalan itu bermula selepas melahirkan anak sulung, Wan Nur Khaleda 34 tahun lalu.

“Bila minum ais, pasti akan batuk dan sakit tekak. Saya juga tak minum minuman berkarbonat.

“Ini bukan tip sihat pun sebenarnya cuma sangat bagus diamalkan dan sehingga hari ini syukur tiada sebarang penyakit,” jelas Sheila yang bakal beraksi di Axiata Arena buat julung kalinya.

SHEILA memilih untuk tidak berkongsi kejutan yang bakal dilakukan pada persembahan meganya nanti.

Pada konsert anjuran bersama dibawakan Altus Prohouse dan TopGallant Show itu, Mac Chew bakal mengambil peranan sebagai pengarah muzik, Jennifer Thompson selaku pengarah konsert dan Steve Hop pula merangkap pereka pentas.

Setakat ini, penghibur yang punya pengaruh besar di Jepun dan Indonesia itu masih belum ada sebarang perancangan mengenai penyanyi jemputan selain memilih untuk mengunci mulut mengenai gimik atau kejutan pada malam tersebut.

“Buat masa sekarang, penyanyi jemputan memang tiada lagi dalam kepala saya. Mungkin ada atau tiada langsung.

Bukan tak mahu jemput, konsert ini lebih kepada meraikan empat dekad saya, jadi lebih baik fokus kepada lagu-lagu saya,” jelasnya lagi.

Bercerita lanjut tentang kejutan, dia menolak untuk terlalu terbuka berkongsi hal tersebut kepada orang ramai khususnya dalam media sosial.

Baginya, zaman teknologi sekarang agak menakutkan kerana idea boleh dicuri orang lain pada bila-bila masa.

“Apa-apa yang akan jadi, semua akan didedahkan pada hari konsert itu nanti. Ibarat tunggu masa nak buang satu bom sahaja pada hari itu,

Lebih baik diam sahaja. Risau kalau kita perah otak untuk cipta sesuatu idea tetapi akhirnya ditiru orang lain. Bahaya, terutama teknologi zaman sekarang yang serba canggih seperti adanya Kecerdasan Buatan (AI).

“Sebab itu saya simpan sahaja semua, tak cakap banyak. Jangan jadi seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, cakap banyak,” tuturnya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok