MENCIPTA sejarah sendiri, pelakon Datuk Hilal Azman tidak menyangka lakonannya dalam filem Memori memberi impak mendalam sehingga melayakkannya membawa pulang trofi Pelakon Terbaik Asia Pasifik ke-61.
Hilal, 68, yang sudah lebih empat dekad berkecimpung dalam indsutri mengakui tidak menjangka membawa pulang trofi berprestij pada acara kemuncak yang berlangsung di Macau, China pada Februari lalu.
Lebih manis, kejayaan tersebut turut menyaksikan Hilal menewaskan saingan terdekat dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Filipina dan China.
Sebelum ini saya pernah menang Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Seri Angkasa tapi kali ini baru saya dapat anugerah Pelakon Terbaik Asia Pasifik.
“Alhamdulillah bukan mudah kerana kami telah mengalahkan negara-negara lain.
“Syukur Allah beri saya rezeki ini. Kalau di Malaysia menang anugerah Pelakon Terbaik hanya di negara kita sahaja, jadi saya bersyukur dengan kemenangan lebih besar ini,” katanya kepada HibGlam pada malam gala dan sidang akhbar filem Memori baru-baru ini.
Berkongsi mengenai Memori, Hilal memainkan watak Hussain iaitu seorang menghidap alzheimer yang memerlukan penghayatan watak mendalam.
Demi menjayakan watak, dia sanggup melakukan kajian dengan menonton video selain memerhatikan keadaan keluarga terdekat yang turut mengalami penyakit tersebut.
Meskipun sudah lama dalam bidang lakonan, dia tetap menimba ilmu daripada beberapa tenaga pengajar untuk menjayakan watak terbabit.
“Saya buat penyelidikan daripada perjalanan hidup arwah bapa pengarah itu sendiri. Dia tunjuk dalam video bagaimana bapanya bergerak, bercakap dan menjerit.
Babak jerit yang saya lakonkan, pengarah terpaksa buka headphone kerana dia menangis dan dapat rasa sama seperti apa dilakukan oleh bapanya sebelum ini.
“Saya hanya dapat ‘rasa’ melalui video yang ditonton dan berkat ajaran daripada sembilan guru lakonan serta pengalaman 46 tahun berlakon membuatkan saya mampu membuat improvisasi dengan baik,” ujarnya lagi.
Difahamkan, filem Memori telah meraih lebih 20 anugerah di luar negara daripada pelbagai festival dan majlis penghargaan filem.
Bakal ditayangkan bermula 31 Julai depan, filem tersebut turut dibintangi Hisyam Hamid dan Diana Danielle. -HIBGLAM