Bintang tinju legenda Hulk Hogan meninggal dunia

SATU kehilangan besar dalam dunia gusti hiburan apabila ikon lagenda, Hulk Hogan menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun, semalam.

Menurut laporan, pasukan perubatan bergegas ke kediamannnya di Clearwater, Florida selepas menerima satu panggilan kecemasan berhubung serangan jantung.

Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Florida dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Isterinya, Sky Daily menafikan khabar angin bahawa Hogan berada dalam keadaan koma dan menyatakan jantung suaminya masih kuat selepas menjalani pembedahan tulang belakang pada Mei lalu.

Bagaimanapun, atur cara pengebumian masih belum diumumkan kepada orang ramai dan pihak polis juga menggesa semua pihak menghormati privasi keluarga.

Pemilik nama sebenar Terry Bollea itu mencipta nama pada era 1980-an menerusi watak patriotik ‘Hulkamania’ dalam pertubuhan gusti ketika itu dikenali sebagai WWF (kini WWE).

Dia dianggap sebagai antara individu yang membawa perubahan besar dalam dunia gusti profesional menjadikan WWE sebuah jenama hiburan global.

Selain bergiat aktif dalam gusti, Hogan juga pernah berlakon dalam beberapa filem seperti 3 Ninjas: High Noon At Mega Mountain, Mr. Nanny, The Secret Agent Club, Suburban Commando dan Santa With Muscles.

Hogan pernah mendirikan rumah tangga pertamanya bersama Linda pada 1983 dan memiliki dua cahaya mata iaitu Brooke dan Nick.

Namun, perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 2007.

Dia kemudiannya berkahwin dengan Jennifer McDaniel pada 2010, namun pasangan itu berpisah pada 2022.

Tahun berikutnya, anak kelahiran Augustus, Georgia itu mengahwini Sky Daily. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok