‘Minta izin sebelum berlakon, itu cara saya hormati Zahirah’

ENGGAN timbul sebarang konflik, aktres Indonesia, Whulandry Herman meminta izin daripada pelakon Zahirah MacWilson sebelum menjalani penggambaran drama Bad Cop bersama aktor, Aiman Hakim Ridza.

Menurutnya yang mesra disapa sebagai Whulan, perkara tersebut dilakukan sebelum menjayakan beberapa adegan mesra bersama Aiman untuk drama berkenaan.

“Apa yang paling sukar, ada beberapa babak dengan Aiman yang jaraknya sangat rapat sehingga rasa segan dengannya.

Saya kenal Zahirah, jadi saya minta izin dengan mesej dia dalam Instagram untuk berlakon bersama suaminya. Ini saya lakukan bagi mewujudkan rasa selesa dengan setiap orang.

“Kemudian, kami dan anak-anak saling kenal serta berkawan. Akan jadi aneh kalau tidak maklumkan apa-apa.

“Misalnya ada babak yang memerlukan saya memegang tangan suami dia atau menatap penuh rasa cinta,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di set penggambaran Bad Cop, semalam.

Tambah Whulan, dia bertindak demikian atas dasar menghormati status Zahirah sebagai isteri kepada Aiman.

“Tidak tahulah saya perlu lakukannya atau tidak tetapi itu cara saya menghormati Zahirah dengan minta izin.

Bila maklumkan pada Zahirah, dia memberi respons sangat baik dan minta saya lakukan perkara yang sepatutnya dalam lakonan serta berterima kasih kerana memberitahunya.

“Dia pun okey dan Aiman juga sudah maklumkan kepada dia,” ujarnya lagi.

Menurut Whulan, perkara tersebut sudah menjadi satu kebiasaan buat dirinya sejak memulakan karier lakonan di Indonesia.

“Saya memang buat begitu sejak aktif berlakon di Jakarta.

Itu cara saya hormat dan menjaga adab bila nak berlakon dengan aktor berstatus suami orang,” jelasnyq.

Selain Whulan dan Aiman, drama arahan Jason Chong itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Siti Saleha, Tony Eusoff, Melissa Campbell, Harvinth Skin dan Razid Salimin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok