NAMA semakin dikenali, pelakon Zarif Ghazzi menafikan dakwaan terkena penyakit ain berikutan kerap jatuh sakit setiap kali memasuki set penggambaran baharu.
Turut berasa pelik, Zarif, 21, bagaimanapun menyifatkan situasi tersebut barangkali hanyalah kebetulan dan menganggap semua yang dilalui itu sebagai ujian dalam kerjaya seninya.
“Esok (hari ini) saya nak mula penggambaran drama baharu, tapi pagi ini (semalam) tiba-tiba mata merah dan gatal-gatal.
Saya dah dua kali ke klinik, doktor kata ada jangkitan. Saya pun hairan sebab selalu kena macam ini.
“Sebelum ini, semasa berada di set penggambaran di Perlis untuk drama Abang Imam, Minah Skuter, hari pertama berlakon, hidung saya berdarah. Ada juga masa lain saya demam. Tapi Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya sama ada pernah mendapatkan rawatan alternatif, pelakon drama Seribu Tahun itu percaya dengan kekuatan doa keluarganya selain hanya menjalani rawatan biasa di klinik atau hospital.
“Saya tak pernah pergi berubat cara lain. Saya cuma jalani rawatan biasa di klinik atau hospital untuk sakit fizikal macam ini.
Saya percaya pada kekuatan doa dan sokongan keluarga serta peminat. Selagi saya ada mak, abah dan orang sekeliling yang mendoakan, saya percaya saya akan kuat.
“Apa yang penting, macam mana pun saya sakit, tapi projek atau kerja tetap berjalan lancar. Alhamdulillah, saya masih ada dalam industri ini,” ujarnya.
Tambah Zarif, dia enggan mengaitkan masalah kesihatan yang dialami dengan perkara mistik atau penyakit ain.
“Saya anggap ini semua ujian. Allah tak akan bagi ujian kalau Dia tahu kita tak mampu. Saya anggap ini sebagai semangat untuk saya teruskan perjuangan dalam industri.
Sebab itu saya tolak andaian bahawa ini berkaitan penyakit ain. Saya tak pernah rasa macam itu.
“Tak dinafikan, pernah sahaja saya alami situasi contohnya orang cakap depan saya baik, belakang saya dengar ada cakap-cakap lain. Tapi saya tak kisah. Saya okey sahaja dengan semua orang,” jelasnya pada majlis pelancaran drama Abang Imam Minah Skuter dan sesi pickleball bersama Viu, semalam.
Bercerita tentang naskhah tersebut, Zarif membawakan watak Zarul bergandingan dengan Bella Dowanna.
Drama arahan Helmi Yusof yang diterbitkan Viu dengan kerjasama Zeel Production itu turut dibintangi Zulin Aziz, Sharifah Rose, Marc Sadique, Amir Haikal, Kazar Saisi akan bersiaran secara eksklusif di platform Viu bermula hari ini. – HIBGLAM