“MEMANG kadang-kadang rasa juga sunyi tanpa lelaki bergelar suami,” luah penyanyi legenda Zaiton Sameon yang sudah lebih tiga dekad hidup solo.
Pernah dua kali berkahwin namun kecundang, pelantun lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar itu mengakui tidak pernah serik untuk berkahwin lagi.
Apatah lagi baru-baru ini, Zaiton Sameon, 69, dikatakan sedang mengenali hati budi seorang doktor perubatan dari Kelantan iaitu Dr. Afif.
Pemilik nama sebenar Afif Mohd. Ridzwan, 44, itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain yang mempunyai 16 cawangan klinik di pantai Timur.
Dakwaan ini mula tercetus apabila Dr. Afif bersama penyampai radio THR Gegar, Fizie Roslan berkunjung ke rumah Zaiton Sameon kerana mahu memberi suplemen.
“Fizie tahu saya ada masalah dalaman perut. Jadi dia mencadangkan agar saya makan suplemen yang sedang diusahakannya iaitu EnerVast.
“Baru-baru ini, Fizie datang bersama Dr. Afif yang membuat kajian dan menghasilkan suplemen ini. Dari situ Dr. Afif banyak memberikan nasihat dan tip untuk kesihatan saya.
“Tak dinafikan, kami ada berhubung selepas itu melalui panggilan telefon dan whatsap. Semua tentang kesihatan,” katanya.
Namun, Zaiton Sameon akui rasa janggal dan pelik apabila ada yang mendakwa hatinya kini sedang ‘berbunga-bunga cinta’ kerana sedang bahagia bercinta dengan Dr. Afif.
“Tak dinafikan, Dr. Afif ni seorang yang baik hati, murah dengan senyuman, hormat orang, suka memberi nasihat dan sebagainya.
“Namun, hubungan kami setakat pesakit dengan doktor sahaja. Kalau orang nampak mesra pun, hanya berborak soal kesihatan.
“Dr. Afif terlalu muda untuk saya. Lagi pun dia suami orang. Tak baiklah kalau ada yang anggap kami ada hubungan istimewa. Apatah lagi, soal kahwin.
Memang soal jodoh adalah ketentuan Allah. Saya hanya berserah. Namun dalam masa yang sama, saya faham dan hormat perasaan wanita lain.
“ Iya, memang tak salah pun kalau saya nak kahwin lagi. Cuma, rasanya sekarang bukan itu jadi matlamat hidup saya. Tak fikir pun pasal kahwin.
“Saya hanya fikir untuk terus bekerja memenuhi undangan nyanyian dan meneruskan usaha dalam bisnes,” katanya.
Zaiton semakin aktif dalam bisnes Rendang Nasib, Sambal Bilis Hijau Petai serta ‘perfume’ jenama sendiri seperti Millionaire dan Gabriel.
Sementara itu, Dr. Afif ketika dihubungi berkata, dia menganggap Zaiton Sameon hanya seperti ibu sendiri.
“Saya bersyukur, suplemen yang saya berikan kepadanya dapat membantu Kak Eton (panggilan buat Kak Eton) yang mempunyai masalah ‘pembuangan’.
“Saya ikhlas bantu Kak Eton. Tiada niat lain. Saya doakan beliau terus sihat sekaligus dapat mencari rezeki dengan lebih giat lagi. Saya harap, sama-samalah sokong bisnes Kak Eton,” katanya.
Tentang dakwaan yang mengaitkan dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan Zaiton, Dr. Afif tidak ambil serius.
“Apabila ada yang mengaitkan saya dengan Kak Eton, saya senyum sahaja. Saya anggap hanya usikan daripada para peminat Kak Eton.
“Iyalah, sudah lama peminat Kak Eton mengharapkan beliau berkahwin setelah lama hidup sebagai ibu tunggal. Bagi saya soal jodoh itu, Allah yang tentukan. Doakanlah yang terbaik buatnya,” tambahnya lagi. – HIBGLAM