RATU rock negara, Ella Aminuddin akui terkejut apabila ada pihak mengaitkan namanya dengan konflik antara penyanyi Shila Amzah dan Datuk Amy Search.
Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, ketika insiden Shila ‘diserang’, dia tiada di tempat kejadian.
Sewaktu kejadian itu berlaku, saya berada di Sunway Resort. Jadi bila netizen petik nama saya, sudah tentu saya terkejut.
“Tetapi saya kekal tenang sebab saya tahu bukan saya individu yang dimaksudkan Shila,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Galeri Rockqueen, di sini semalam.
Tambah pelantun lagu Standing In The Eyes Of The World itu lagi, hubungannya dengan Shila sangat akrab.
Saya dengan Shila berkawan baik. Ketika jumpa di hari konsert berlangsung pun kami saling berpelukan,” jelasnya.
Terdahulu Shila Amzah membuat laporan polis selepas dia mendakwa ‘diserang’ seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y.
Disebabkan tidak mendedahkan nama penyanyi tersebut, netizen mula memetik nama antara Datuk Amy Search, Datuk Awie dan Ella Aminuddin sebagai pelaku.
Namun segalanya terjawab selepas Shila mengesahkan penyanyi legenda yang menyerangnya ialah bapa kepada Nabila Huda iaitu Datuk Amy Search. – HIBGLAM