Aruel & The Fasola kembalikan kemeriahan pesta ronggeng

RONGGENG dalam konteks seni merupakan sejenis tarian tradisional dan hiburan Melayu yang menghimpunkan penari lelaki dan wanita dalam satu gelanggang.

Dalam sesetengah sudut pandangan pula, ronggeng yang biasanya diadakan dalam sesebuah majlis keramaian atau kenduri pernah dianggap sebagai hiburan kurang sopan dek interaksi bebas antara lelaki dan wanita.

Itu persepsi lama dahulu, kini ronggeng seperti dilupakan. Bagi mengembalikan semula kehangatan ronggeng yang pernah menjadi acara wajib pesta keramaian seperti waktu dahulu, penyanyi Aruel & The Fasola tampil dengan idea Malam Pesta Ronggeng.

Acara berkenaan bakal menggamit memori indah dengan persembahan eksklusif di Saloma Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos nanti.

Membawa konsep penuh nostalgia, acara anjuran HS Event & Entertainment tersebut dijangka menjadi malam istimewa yang menyatukan generasi lama dan baharu melalui alunan muzik klasik segar.

Malam Pesta Ronggeng bahkan dijangka menjadi sebuah malam istimewa yang menyatukan penggemar muzik klasik dengan sentuhan moden.

“Kami, Aruel & The FasoLa aktif membuat persembahan sejak 2022 secara ‘private’ dan ‘underground’. Namun, kini dengan sokongan ramai dan peluang besar ini, kami sangat terharu.

“Saya benar-benar bersyukur atas peluang dan kepercayaan penganjur serta semua yang terlibat. Pastinya kami ingin memberikan persembahan maksimum untuk semua yang bakal hadir. Kami benar-benar teruja dan berterima kasih kepada semua,” katanya.

Menurut Aruel, malam penuh warna berkonsep ‘Buloh In’ tersebut bakal menampilkan lagu-lagu nostalgia era 1940-an hingga 1960-an, terutamanya karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma selain diiringi 10 pemuzik termasuk penyanyi latar.
“Kami bawakan gubahan muzik dengan gabungan elemen klasik dan moden agar lebih segar untuk didengar semua tetamu.

Bukan sahaja mengekalkan keaslian karya tetapi turut memberi sentuhan baharu supaya relevan,” katanya.

ARUEL & Fasola menjanjikan persembahan berkonsepkan ‘Buloh In’ dengan lagu-lagu era 1940-an hingga 1960-an menjelang Malam Pesta Ronggeng pada 15 dan 16 Ogos nanti.

Mengulas lanjut mengenai konsep ‘ronggeng’ yang diangkat sebagai tema malam tersebut, Aruel berkata, persembahan itu lebih menyeluruh.

“Dalam sudut kebudayaan, memang wujud istilah tarian ronggeng. Namun bagi kami, ronggeng itu digambarkan dengan suasana tari menari yang mana muzik kami mempunyai elemen jazz Melayu dan klasik serta suntikan latin seperti Cha Cha,

Berkala

Rumba, Bossa dan Twist pasti akan menukarkan malam itu menjadi malam tari menari untuk semua yang hadir,” katanya.
Aruel turut berharap persembahan mereka mampu mengembalikan nostalgia dan memberikan kepuasan sepenuhnya kepada tetamu yang hadir.

“Kami mahu menghidupkan semula kenangan manis dengan lagu-lagu klasik yang sudah sebati dalam jiwa ramai penggemar,” katanya.

Sementara itu, penganjur Datin Datin Riza Che Umar berharap, Malam Pesta Ronggeng akan menjadi platform memperkenalkan semula keindahan muzik klasik dan tradisi tari menari kepada generasi muda.

“Objektif penganjuran adalah untuk mengembalikan memori indah muzik klasik kepada generasi baharu sambil meraikan peminat muzik lama.

“Jadi, Malam Pesta Ronggeng ini diadakan untuk mencipta ruang hiburan yang bukan sahaja eksklusif, sebaliknya mengekalkan elemen seni budaya tempatan yang semakin dilupakan.

“Kami ingin semua tetamu merasai keunikan muzik klasik dengan sentuhan moden dalam suasana penuh gaya,” katanya.
Pada masa sama, Riza berkata, pihaknya bercadang menjadikan Malam Pesta Ronggeng sebagai acara berkala.

“Kami merancang mengadakan acara seperti ini setiap empat bulan sekali di Saloma KL supaya hiburan berkonsep klasik terus mendapat tempat di hati penggemar seni,” katanya.

Tiket-tiket Malam Pesta Ronggeng berharga RM400 hingga RM800 kini dibuka untuk jualan. Hubungi talian +6012 662 4079, +6018 223 9934 atau +6017 470 5455 untuk maklumat lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok