Terharu, Siti Nurhaliza beli beg saya

TERHARU dan bersyukur, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri tidak menyangka Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi antara pembeli beg tangan keluarannya yang dijual menerusi siaran langsung dalam TikTok, baru-baru ini.

Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, berkata, pembelian dibuat penyanyi tersohor itu barangkali atas dasar simpati terhadap usahanya bersama anak sulung, Ammar Ahyan yang bertungkus-lumus menjual produk menerusi siaran langsung.

“Siti antara individu yang membeli beg saya. Tapi, saya beranggapan mungkin sebab dia kesian dekat saya dan anak-anak bila nampak kami jual sambil menjerit-jerit, menangis, marah dan maki hamun.

Siti juga antara yang kerap masuk dalam ‘live’ jualan kami. Saya tak percaya dia beli, tapi siapa yang membeli tu kita boleh nampak dalam sistem malah ada komen ‘done payment’ ketika itu.

“Beg dia beli pula banyak, saya sangat terharu dan bersyukur dengan sokongan yang diberikan,” katanya kepada HibGlam pada sesi minum petang bersama media, semalam.

Pengasas D’herbs itu, menyifatkan tindakan pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu sebagai satu bentuk sokongan besar terhadap usahawan tempatan yang bertungkus-lumus mencari rezeki meskipun menyedari figura sehebat beliau boleh sahaja membeli beg tangan berjenama mewah antarabangsa.

Alhamdulillah dia sokong jualan beg saya ini. Orang macam dia pun sokong saya, jadi itu yang buat saya terkejut. Ini satu penghormatan kerana kita tahu dia memang ada duit dan boleh beli beg lagi mahal.

“Tapi, bila dia sokong usahawan bumiputera macam saya ini memang sangat gembira,” tuturnya.

Sementara itu, penyanyi lagu  Bobo Di Mana itu turut mengumumkan bakal mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori kutipan jualan tas tangan terpantas dengan sasaran RM1 juta pada 3 Ogos ini menerusi platform TikTok.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok