SUSULAN isu bayaran royalti lagu ciptaan Allahyarham suaminya berjudul Sinaran, penyanyi Datuk Nora Ariffin kekal dengan pendirian mahu menuntut keadilan dan hak yang sepatutnya disalurkan kepada waris arwah.
Menurut Nora atau nama lengkapnya Norafizah Ariffin, 51, tindakan tersebut dilakukan demi mendapatkan hak anak-anak yang ditinggalkan arwah suaminya, Johan Nawawi.
Dia juga memaklumkan pihak Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) sudah menjalankan tugas mereka dan memohon enam syarikat penerbitan iaitu Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Aony Music Publishing, Good Sound Publishing dan syarikat lain yang belum dikenal pasti untuk segera menyelesaikan isu tersebut.
“Bila arwah tak ada, memang saya nak tak nak terpaksa ambil alih proses pembikinan untuk lagu saya sendiri. Saya kena belajar tentang penerbitan yang kadangkala buatkan kita pun pening.
Sampai sekarang saya tak pernah dapat laporan rasmi daripada syarikat penerbitan. Apabila berbincang dengan MACP, mereka sahkan sudah lunaskan bahagian mereka namun ada beberapa syarikat penerbitan yang masih gagal memberi sebarang penjelasan.
“Saya tak kisahlah royalti banyak atau sikit tapi nak tahu laporan penuh sebab ini bukan untuk saya sebaliknya saya perjuangkan demi hak anak-anak.
Jangan jadi syarikat penerbitan kalau tak boleh uruskan hal sebegini sebab kita bagi tanggungjawab pada mereka untuk promosikan lagu. Jadi, itulah tugasnya,” katanya kepada HibGlam pada sidang media di Pejabat MACP, hari ini.
Menerusi sesi tersebut, Nora turut menuntut hak royalti buat lagu-lagu Allahyarham membabitkan lebih 200 karya sepanjang kariernya menghasilkan dendangan daripada enam syarikat penerbitan.

NORA menuntut enam syarikat penerbitan bertindak segera menyelesaikan isu royalti malah dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara itu masih berlarutan.
Pada masa sama, Nora menjelaskan karya Sinaran masih relevan dan dimainkan hingga ke hari ini, justeru isu terbabit harus membuka mata semua pihak mengenai nasib hak cipta selepas pemergian pencipta asal.
“Lagu Sinaran sangat besar dan masih disiarkan di serata tempat serta dimainkan sampai hari ni lagi.
Benda-benda ini saya rasa nak buka mata, minda semua. Geram jugalah adakah hak pencipta dijaga masa komposer, karyawan masih hidup sahaja?
“Bila dah mati duduk diam. Kalau waris tak bising, tak apalah, tak bising,” jelasnya.
Ditanya mengenai dakwaan ‘joy killer’ berkaitan membangkitkan isu lagu Sinaran ketika penyanyi Datuk Sheila Majid mengumumkan konsert, Nora menafikan mahu mengeruhkan keadaan, sebaliknya menegaskan sangat menghormati susuk legenda itu.
Sejujurnya saya sangat menghormati Sheila, dia sebagai penyanyi. Tiada kena-mengena sebab isu ini dah lama pun.
“Saya pergi sebuah konsert lagu terakhir pakai Sinaran, secara kebetulan terdetik mengenai isu royalti,” katanya lagi.
Sementara itu, anak sulungnya iaitu Syakir Iman turut menyuarakan hal sama yang diperjuangkan sejak empat tahun lalu selain tidak teragak-agak mahu membuat tuntutan di mahkamah.
“Bagi saya, adalah lebih mudah kalau syarikat penerbitan buat kerja. Tunaikan tanggungjawab jadi sekarang kami nak tuntut hak.
Isu ini sebenarnya dibangkitkan pada 2021 tapi sampai sekarang masih belum dapat jawapan.
“Kalau boleh, kami mahu selesaikan secara baik tetapi jika terus tiada penyelesaian, kami tidak menolak untuk bawa perkara ini ke muka pengadilan,”tuturnya.
Selain Nora dan Iman, sidang media tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap serta Aiman Zamir Adnan yang merupakan anak kepada komposer lagu Sinaran iaitu Allahyarham Adnan Abu Hassan. – HIBGLAM