TAHUN 2025 seakan-akan menjadi medan sakti buat Marsha Milan. Selepas gah bergelar Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), perjalanan seni figura serba boleh itu terus menyinar, ibarat bintang yang menolak gelap malam.
Dari pentas gemilang ke studio rakaman, nama Marsha terus disebut-sebut, malah menjadi buruan pentas tempatan dan antarabangsa, satu demi satu, tanpa henti.
Menunggang gelombang populariti yang tidak bertepi, Marsha memahat sejarah peribadi apabila akhirnya berjaya melahirkan album penuh berjudul Misompuru. satu naskhah impian yang tertanam sejak dua dekad lalu.
Album tersebut bukan sekadar himpunan melodi, namun sebuah manifestasi cinta terhadap budaya, tanah tumpah darah dan warisan yang jarang diraikan dalam arus perdana.

SEBAGAI anak Sabah, menjadi tanggungjawab Marsha mengangkat dan menghidupkan muzik tradisi yang menjadi akar budaya masyarakat di sana.
Misompuru dalam bahasa Dusun membawa maksud ‘keramaian’, sesuai dengan misi Marsha yang mahu menyatukan suara Borneo dalam sebuah perayaan muzik.
Ujar Marsha, album itu tidak hanya hiburan semata-mata tetapi lambang kasihnya kepada bumi kelahiran.
“Setiap lagu memiliki kisah dan melodi tersendiri.
Dengan konsep keramaian menggabungkan pelbagai elemen budaya, album ini dihasilkan sebagai satu perayaan muzik yang meraikan keindahan kepelbagaian.
“Album ini merupakan simbol kepada usaha saya dalam mengangkat budaya Sabah dan Sarawak ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Tambah pelantun Hening Rindu itu, perjalanan menghasilkan album ini penuh warna-warni. Bermula sekitar Oktober tahun lalu, proses ‘merisik’ lagu dilakukan bersama rakan komposer dari Sabah dan Sarawak.

MISOMPURU merupakan apresiasi Marsha terhadap seni leluhurnya.
Katanya, lagu pertama diterima adalah Lintah Darat, diikuti Nalan-Nalan, Pelangi Pasti, dan akhirnya Santai Saja yang diterima hanya seminggu sebelum AJL39.
Lagu Lintah Darat paling mencabar dari segi vokal sebab struktur melodinya saya bayangkan seperti ‘spring’.
“Daripada segi teknikal, memang agak sukar untuk dibawa. Tapi saya suka cabaran seperti ini.
“Lagu Pelangi Pasti pula benar-benar menyentuh hati saya kerana liriknya buat saya rasa syukur dengan apa yang saya miliki hari ini,” tuturnya.
Album yang mengandungi lima lagu Nalan-Nalan, Lintah Darat, Pelangi Pasti, Santai Saja dan Hey Aramai Ti itu merupakan hasil kolaborasi Marsha bersama komposer berbakat besar dari Borneo.
Tidak hairanlah jika Misompuru kini disifatkan sebagai ‘surat cinta’ kepada anak-anak Borneo yang merindui tanah asal mereka.
Paling penting kata pelakon Rahsia itu, dia mahu karya tersebut mencetus satu gelombang baharu dalam industri muzik Malaysia.
Saya melihat Misompuru sebagai langkah permulaan, satu batu loncatan untuk memperkenalkan DNA saya sebagai anak seni yang membawa budaya dan identiti sendiri.
“Dalam industri muzik, saya rasa penting untuk ada kelainan. Jadi inilah cara saya memberi warna kepada muzik saya,” jelasnya.

MARSHA bersama sebahagian peminat dan orang kuat yang menjayakan showcasenya.
Ratu Borneo
Ketika ditanya mengenai gelaran Ratu Borneo yang mula disematkan peminat, penyanyi kelahiran Tamparuli itu tidak menafikan perasaan terharu, namun menyifatkan di sebalik penghormatan itu terselit juga amanah yang berat.
“Secara jujur, memang saya rasa itu satu tanggungjawab besar kerana bila kita sebut Borneo, itu bukan hanya Sabah dan Sarawak tetapi satu identiti luas yang merangkumi budaya dan jiwa pelbagai suku kaum.
Saya bersyukur dengan gelaran itu. Gelaran itu turut beri saya semangat untuk terus berkarya dengan pelbagai variasi. Saya mahu karya saya mewakili suara mereka,” luahnya.
Lebih manis, album Misompuru juga membuka laluan antarabangsa buat peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu apabla diundang ke ROUND ASEAN-Korea Music Festival 2025 mewakili Malaysia.
Tidak terhenti di situ, wajah Sumandak itu turut menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, ketika diumumkan sebagai Ikon EQUAL Spotify Asia.
Percaya akan potensi album tersebut untuk ke pentas yang lebih besar, Marsha enggan berpeluk tubuh sebaliknya sudah menyusun strategi.
Daripada lima lagu dalam album Misompuru, saya rasa Pelangi Pasti berpotensi pergi lebih jauh kerana melodinya mesra pendengar.
“Saya percaya tidak mustahil untuk muzik Borneo menembusi arus perdana dan luar negara,” tutupnya.
Album Misompuru sudah boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital. – HIBGLAM