‘Mujur duduk, kalau berdiri mungkin kepala saya pecah’

PENYANYI Datuk Hattan berdepan detik cemas apabila rebah ketika mengadakan persembahan di sebuah majlis korporat akibat keracunan makanan.

Dedah Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabudin, 61, insiden tersebut dialami selepas menikmati hidangan makanan laut mentah.

“Saya cirit-birit sebab makan makanan laut tak beragak. Waktu buat persembahan nyanyi lagu Rendang Tidak Berbuah, penonton semua sudah seronok layan saya nyanyi. Kemudian kepala saya mula rasa macam berpusing.

Saya sempat minta kepada penganjur untuk nyanyi dalam keadaan duduk bagi lagu kedua tapi apabila muzik masuk, saya tidak ingat apa yang jadi. Sedar-sedar sudah dalam ambulans.

“Cuma waktu pengsan saya rasa macam nak mati. Tak tahulah, katanya gas itu berbahaya boleh sampai ke jantung,”   katanya kepada HibGlam pada Majlis Ulang Tahun ke-5 Media Mulia di Hotel Hilton Petaling Jaya, semalam.

Akibat insiden tersebut, pelantun lagu Mahligai Syahdu itu mengakui fobia untuk menjamah makanan laut selain lebih berhati-hati dalam soal pemakanan.

“Buat masa ini saya elak makanan laut. Lauk yang ada udang tadi (semalam) pun saya tidak makan sebab fobia.

Selepas ini , jika ada majlis besar saya akan lebih berjaga-jaga terutama dengan pilihan makanan.

“Bukanlah saya cerewet, cuma lepas ini kalau makan kerang kena rebus dulu. Saya makan mentah sahaja (sebelum pengsan),” jelasnya.

Meskipun diinasihatkan doktor untuk berehat, Hattan tetap menggagahkan diri melakukan persembahan demi menghormati penganjur yang dianggapnya banyak menyokong kerjaya seninya.

Doktor kalau tahu saya menyanyi hari ini (semalam) mungkin dia mengamuk. Ikutkan hati tak larat tapi mengenang akhbar ini dekat dengan saya, saya hadir memeriahkan.

“Minggu depan saya sudah fikir untuk berehat. Kami sekeluarga rancang untuk pergi ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Bila ingat kembali, saya tak pernah tumbang atas pentas. Mujur saya duduk. Kalau berdiri, mungkin kepala saya pecah,” tambahnya lagi.

Sabtu lalu, Hattan dilaporkan rebah ketika membuat persembahan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok