LIMA tahun berjuang melawan kanser ginjal, penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano kembali lagi menjalani beberapa prosedur rawatan di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang.
Vidi atau nama sebenarnya Oxavia Aldiano, 35, berkata, proses kali ini dijangkakan mengambil tempoh agak panjang berbanding kedatangan terakhirnya di hospital sama akhir tahun lalu.
Bismillah, melalui sekali lagi pusingan (kimoterapi). Kali ini akan lebih lama di Penang (Pulau Pinang) untuk menjalani beberapa prosedur,” katanya dalam hantaran Instagram.
Terus positif, secara berseloroh penyanyi, komposer dan pelakon yang tampak bersemangat itu turut menganggap berkampung dalam wad umpama berada di pusat terapi.
Kembali untuk ‘spa day’. Sekurang-kurangnya saya nampak menarik berbaju biru ini,” tulisnya dalam perkongsian lain.
Perjalanan kehidupan selebriti asal Jakarta yang didiagnos dengan kanser pada 2019 itu sering diikuti peminat yang kagum melihat kekentalan semangatnya melawan penyakit yang dideritai.
Malah menerusi video terbaru dikongsikan dalam Instagram, Vidi kelihatan ceria walaupun mengakui berat badannya susut sebanyak 10 kilogram tahun ini.
Terus mengharapkan doa orang ramai, suami kepada aktres dan penyanyi Sheila Dara Aisha itu turut menzahirkan terima kasih kepada khalayak atas sokongan tidak berbelah bagi.
Tidak pernah bosan meminta bantuan doa untuk saya lagi ya teman-teman. Semoga kalian juga tidak bosan mendoakan saya,” tambahnya.
Difahamkan, Vidi sudah beberapa kali ke Pulau Pinang bagi menjalani rawatan berikutan ubat-ubatan yang disarankan pakar di Singapura belum ada di negaranya.
Lelaki yang memulakan kerjaya seni sejak 17 tahun lalu itu pernah melakukan pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Walaupun berdepan masalah kesihatan, dia tetap aktif meneruskan aktiviti seni termasuk mengadakan persembahan pentas selain menjalani penggambaran program televisyen. – HIBGLAM