‘Ada kaitan penyakit ain, saya minta maaf salah silap’

MENGAKUI sistem imun tubuh semakin merosot berikutan faktor usia, pelakon Wawa Zainal tidak menolak masalah kesihatan yang dialami sejak setahun lalu ada kaitan dengan penyakit ain.

Sehubungan itu, Wawa atau nama penuhnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, memperbanyakkan amalan selepas solat termasuk berzikir selain mendapatkan rawatan di hospital serta mengambil vitamin tambahan.

“Saya kerap keluar masuk hospital tahun lepas berpunca dari demam, gastrik, lemah dan beberapa masalah lain, sedangkan sebelum ini nak demam setahun sekali pun susah.

Apabila ibu sakit, anak-anak pun mudah terkena jangkitan. Kita husnuzon sahaja, tapi masih perlu berjaga-jaga kerana gangguan dek pandangan mata yang disertai rasa iri hati atau dengki itu memang wujud.

“Kita banyakkan sahaja solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Minta kepada-Nya, moga-moga keluarga kita dihindarkan dengan penyakit ain ini,” katanya selepas pelancaran produk baharu Wawa Global Kosmetik New Chapter, baru-baru ini.

Diiringi suaminya Aeril Zafrel ke majlis pengenalan krim pelindung matahari di sebuah pusat pickleball di TREC, ibu kepada empat cahaya mata itu mendedahkan masih dalam fasa pulih daripada batuk dan sakit tekak.

Awal bulan lalu Wawa turut dimasukkan ke wad sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selama beberapa hari selepas diserang gastrik kronik.

Mula menjaga pengambilan makanan, pelakon juga usahawan kosmetik itu dengan rendah diri meminta maaf kepada mana-mana individu yang mungkin disakitinya.

Harapan saya dapatlah kembali sihat macam sediakala sebab kalau sakit banyak perkara terutama kerja jadi tergendala. Kalau ada salah silap pada sesiapa, saya minta maaf.

“Dari segi lain, sekarang ini pun saya pantang makan. Tak ambil minuman bergas, manis serta terpaksa elakkan susu sebab perut jadi berasid, cepat kena gastrik,” ujarnya.

Mengenai penjenamaan serta pembungkusan tiga produk pelindung matahari serta logo baharu syarikat, katanya perkara itu dilakukan sebagai usaha serius dalam membanteras penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.

Katanya, identiti baharu yang diperkenalkan membawa imej lebih elegan dan penuh keyakinan terutama dengan kehadiran wajah kempen popular iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bersama pasangan sensasi, Umisya Mazlan dan suaminya, Ahmad Aslam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok