‘Ubai bertanggungjawab, melindungi saya dan perkahwinan kami’

KALAU benar saya menanggung segalanya, mustahil mampu hidup sebahagia hari ini.”

Demikian tegas penyanyi Shila Amzah sekali gus menangkis tuduhan liar segelintir netizen yang mendakwa dirinya menjadi tulang belakang tunggal menyara keluarga termasuk suaminya, Ubai MZ.

Menurut Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah, 35, dakwaan tidak berasas itu hanya mencerminkan kedangkalan sesetengah pihak yang gemar mencipta naratif tanpa mengetahui hal sebenar.

“Pada saya, mereka yang berkata begitu sebenarnya langsung tiada asas. Semestinya tak ada asas langsung.

Kalau dakwaan itu berasas, tak mungkin saya sebahagia sekarang. Tak perlu pergi jauh, tengok sahaja gambar saya dalam media sosial dari tahun 2023 ke atas dan bandingkan dengan sekarang.

“Jelas sangat perubahannya. Lebih ceria dan bahagia. Biarlah gambar yang menjawab segala-galanya,” katanya kepada HibGlam usai menjurikan program Raise The Star Malaysia minggu kelima, malam tadi.

Diminta mengulas tindakan suaminya yang turut bersuara mempertahankan keluarga mereka, pelantun lagu Pernah Punya Aku itu menyifatkan Ubai sebagai lelaki berjiwa pelindung yang tidak pernah melepaskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Dia sangat protective dan bertanggungjawab terhadap saya dan juga perkahwinan kami. Kalau boleh, dia tak mahu langsung perkara-perkara tak elok berlaku, apatah lagi anak-anak kami pun dah besar.

“Dia sejenis suami yang saya tak perlu arah atau minta apa-apa. Walaupun dia lapan tahun lebih muda daripada saya tapi dia sangat matang dalam setiap keputusan dibuat,” ujarnya.

Enggan peduli dengan segala tohmahan, ibu dua anak itu berkata, kehidupannya tidak pernah sunyi mahupun terbeban kerana Ubai memainkan peranan besar dalam rumah tangga, termasuk membesarkan dua cahaya mata mereka.

“Dia individu yang sangat melibatkan diri dalam membesarkan anak-anak. Saya tak pernah rasa sunyi dan keseorangan walau sesaat pun dalam mendidik mereka.

Siapalah isteri tanpa suami yang merendahkan egonya demi mengangkat setiap langkah pasangannya. Dan itulah suami saya,” luahnya.

Terdahulu, Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 27, menerima kecaman dalam TikTok yang mendakwa dirinya tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada Shila.

Terkesan dengan tuduhan berbaur fitnah itu, Ubai tampil membela diri dan memuat naik beberapa komen netizen termasuk menyelar tindakan individu terbabit yang disifatkan fitnah dan melampaui batas itu.

Untuk rekod, Ubai dan anak kepada penyanyi ND Lala itu mendirikan rumah tangga pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira

Shila juga mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan terdahulu bersama Haris Edraki. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok