Perit saya tahan nafas, pelakon badan berbau – Adlyn Harissa

PELAKON Harissa Adlyn berdepan situasi kurang enak apabila terpaksa menahan nafas akibat rakan gandingannya ada masalah badan dan mulut berbau.

Menurut Harissa atau nama lengkapnya Harissa Adlyn Abdul Halim, 22, sebagai pelakon, kebersihan diri harus diutamakan terutamanya apabila bekerja dengan orang lain.

“Saya sendiri akan pastikan diri sentiasa berbau wangi atau tiada bau yang kurang menyenangkan. Bila di set saya akan tanya kru atau pelakon jika ada bau kurang enak daripada saya, beritahu saya.

Bila kita berlakon, kadang-kadang kedudukan kita dengan pelakon lain sangat dekat. Jadi bila badan berbau, memang perit nak kena tahan nafas.

“Bila berlakon ‘outdoor’ lagilah ketiak berpeluh. Penting untuk pastikan sentiasa pakai deodoran agar bau badan tidak mengganggu orang lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media All Star Award 2025.

Tambah pelakon drama Dedaun Hijau Di Angin Lalu itu lagi, biarpun terpaksa berdepan situasi kurang selesa, dia tidak berani menegur secara terang-terangan.

Ada yang beritahu saya agar berterus-terang sahaja. Tetapi saya tak sampai hati. Cuma nasihat saya selepas ini sentiasalah jaga kebersihan diri. Kalau ‘shooting’ dalam rumah, boleh sahaja tumpang mandi untuk bersihkan diri,” jelasnya.

Gara-gara berdepan situasi kurang selesa itu juga menjadi asbab Harissa mengeluarkan minyak wangi jenamanya sendiri.

“Saya sudah jumpa dengan ramai orang. Bukan pelakon sahaja, tetapi orang lain pun ada juga yang mempunyai masalah badan berbau.

Jadi saya hasilkan minyak wangi yang tahan lama. Tetapi tak guna juga jika pakai minyak wangi yang tahan lama sekalipun sekiranya kita tidak menjaga kebersihan diri. Kena selalu mandi agar tubuh sentiasa bersih,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Harissa kini sibuk menjalani penggambaran drama 40 episod di bawah arahan Michael Ang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok